Malaysia hargai sumbangan RBC
SABTU lalu, genap 50 tahun tertubuhnya pasukan Rifle Butterworth Company (RBC) yang sepanjang penubuhannya turut mengimbangi keselamatan di utara Semenanjung tanah air.
RBC merupakan sebuah kompeni infantri tentera darat Australia yang berpenempatan di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang. RBC ditubuhkan sejak tahun 1970 sebagai sebuah pasukan atur gerak cepat bagi melindungi aset-aset Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) di pangkalan tersebut semasa era Insurgensi.
Walaupun penempatan askar negara Kangaroo di sini bukanlah rahsia tetapi ia mungkin kurang diketahui umum.
Berikutan pengunduran tentera Britain dari Malaysia dan Singapura antara tahun 1968 hingga 1971 serta penyusunan semula tentera Australia dan New Zealand dari Kem Terendak, Melaka ke Singapura, maka Canberra berpandangan perlu sebuah pasukan kecil kekal di Butterworth.
Pada masa yang sama, situasi keselamatan di utara Semenanjung susulan pemberontakan bersenjata pengganas komunis membimbangkan Australia terhadap keselamatan pangkalannya di Pulau Pinang kerana kebarangkalian pengganas komunis melancarkan serangan atau sabotaj ke atas pangkalan tersebut tidak boleh disangkal. Perang Vietnam dan geopolitik semasa turut menggusarkan, tambahan pula dengan kedudukan pangkalan berkenaan letaknya kira-kira 120 kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.Pangkalan udara Butterworth di-bina kerajaan British pada tahun 1939 dan digunakan semasa Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1958, ia dikendalikan oleh RAAF sebelum diserahkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada tahun 1970.
Pada mulanya penggiliran tugasan selama satu bulan itu dilakukan oleh pasukan tentera Australia yang berada di Singapura sebelum Canberra pada September 1973 memutuskan satu kompeni infantri dihantar terus dari negara itu dengan tempoh giliran bertugas selama tiga bulan.
Pada Januari 1980, penugasan kompeni infantri itu dikenali Australian Army Rifle Company Butterworth sebelum diputuskan sebagai RBC pada tahun 1987. Pangkalan Udara Butterworth turut menempatkan Markas Sistem Pertahanan Udara Bersepadu (HQ IADS) yang dibentuk pada Februari 1971 membabitkan Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan Britain.
HQ IADS adalah satu kerjasama antara negara-negara terbabit yang memeterai Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA). Seperti yang dipersetujui di bawah aturan pertahanan bersama itu, kelima-lima anggota FPDA perlu berunding antara satu sama lain jika berlaku pencerobohan atau anca-man daripada pihak luar terhadap Malaysia atau Singapura.
Sebab itu, penempatan dua buah skuadron pesawat pejuang Mirage RAAF adalah sebahagian daripada kerjasama FPDA bagi memberi payung perlindungan kepada Malaysia dan Singapura.
Apabila skuadron terakhir RAAF meninggalkan Butterworth pada tahun 1988 dan setelah tamatnya pemberontakan pengganas komunis, kehadiran RBC terus dikekalkan atas persefahaman kedua-dua negara.
Selepas berakhirnya Konfrontasi pada Ogos 1966, Malaysia tidak pernah memohon bantuan ketenteraan daripada negara asing termasuklah Australia. Justeru, sepanjang tempoh penugasan di Malaysia, RBC tidak terbabit dalam mana-mana pertempuran.Sebaliknya penugasan pasukan itu hanya terhad dalam perimeter RAAF dan terarah kepada tugasan pertahanan. Sekiranya berlaku situasi kecemasan sekalipun, RBC akan bertindak melindungi pangkalan tersebut di bawah arahan pemerintah Pangkalan Udara Butterworth.
Justeru, RBC menjadi satu platform persefahaman pertahanan antara Malaysia-Australia kerana dari masa ke masa pasukan itu turut terbabit dalam latihan ketenteraan antara kedua-dua negara seperti Eksesais Haringaroo dan Bersama Lima.
Pada masa kini, menjadi kebanggaan bagi warga tentera Australia sekiranya dipilih menyertai RBC kerana ia memberi mereka peluang untuk merasai pengalaman bertugas di luar negara, selain menimba pengalaman berlatih di sini. Begitu juga sebaliknya bagi pihak Angkatan Tentera Malaysia.
* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!