Gelang merah jambu milik petugas kesihatan
JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesahkan gelang merah jambu yang ditemui berhampiran sebuah kedai di Desaru Utama dekat Kota Tinggi seperti yang tular sejak dua hari lepas adalah milik petugas di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi (PKDKT).
Pengarahnya, Datuk Dr Aman Rabu berkata, hasil siasatan mendapati petugas kesihatan PKDKT itu menjalani ujian Covid-19 bagi tujuan ke Sabah dan secara tidak langsung dipakaikan gelang pengawasan.
"Pemakaian gelang semata-mata untuk ujian Covid-19 adalah tidak diperlukan. Pihak PKDKT mengesahkan gelang itu bukan dimiliki oleh Orang Kena Perintah (OKP) Covid-19 dan tiada tindakan penguatkuasaan dijalankan ke atas kesilapan yang berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dan menjelaskan PKDKT sentiasa melaksanakan pemantauan terhadap kesemua OKP di negeri ini.
Katanya, PKDKT juga menjalankan operasi 'Ops Home Surveillance' di Zon Tenggara, Kota Tinggi dan Pengerang dengan kerjasama PDRM untuk memantau kepatuhan OKP yang tidak memakai gelang di zon berkenaan dalam tempoh kuarantin bermula 19 November hingga 2 Disember ini.
"Hasil pemantauan mendapati kesemua OKP patuh dengan perintah kuarantin dan memakai gelang pengawasan masing-masing,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!