Saya masih Ketua Wanita PKR Terengganu, kata Sharifah Norhayati
KUALA TERENGGANU - Kemelut yang melanda wanita PKR Terengganu semakin meruncing apabila Sharifah Norhayati Syed Omar hari ini tampil mempertahankan dirinya masih Ketua Wanita PKR Terengganu yang sah mengikut undang-undang parti.
Sehubungan itu, beliau akan memohon pimpinan parti mengambil tindakan terhadap Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail atas tindakan melantik individu lain sebagai ketua wanita sedangkan dirinya menerima watikah pelantikan dari Ketua Wanita PKR Pusat, Haniza Talha.
“Saya sebenarnya tidak memilih untuk bersoal jawab di media tapi saya tidak pernah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri sejak menerima watikah pelantikan sebaliknya beliau (Azan) terus menerus menyerang saya menggunakan media.
“Saya nasihatkan Azan supaya belajar dan baca undang-undang parti dengan teliti sebelum buat sidang media . Saya yakin dengan apa yang saya nak buat dan mampu buat jadi tolong jangan ganggu saya dengan benda yang tak sepatutnya,” katanya hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:Armila Ketua Wanita PKR Terengganu baharu
Menurut beliau, misinya jelas untuk menjadikan PKR Terengganu khususnya wanita lebih kukuh dan disegani di negeri ini dan ia dibuktikan dengan pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti turun padang sebaik saja pelantikan jawatankuasa negeri dibuat.
Antara program itu adalah Jelajah back to School, Jelajah Ziarah Kasih dan Kunjung Hormat selain turut mendekati remaja melibatkan pelajar pusat pengajian tinggi melalui program sukan seperti lumba kuda , muaythai, badminton dan melukis mural di bangunan yang terpilih.
Sharifah Norhayati turut mempersoalkan, apakah sumbangan yang dilakukan oleh Azan selama lapan tahun menjadi Pengerusi PKR Negeri.
“Di bawah Azan, PKR Terengganu mengalami perpecahan dan perbalahan yang parah. Perkara ini bukanlah rahsia, beliau juga tidak boleh bertoleransi dengan pemimpin Pakatan Harapan dengan baik. Akibatnya, PKR Terengganu jadi sangat pasif dan lemah.
“Kata-kata saya ini boleh dibuktikan dengan tiadanya pertambahan ahli sepanjang beliau menjadi pengerusi negeri. Sebagai pemimpin, kita kena mencipta persepsi yang baik di mata orang ramai, barulah ada yang berminat untuk tahu siapa kita,” katanya.
Mengakui tidak mempunyai masa untuk melayan perkara seumpama itu, dan dia akan meneruskan tanggungjawabnya sebagai Ketua Wanita PKR Negeri seperti biasa berdasarkan takwim yang dirancang sepanjang tahun ini.
“Saya rasa Azan tidak tahu apa dia nak buat sebagai pengerusi negeri sebab itu dia ada banyak masa untuk mencampuri urusan wanita. Saya harap Azan tumpukan perhatian pada perkembangan parti di semua peringkat Cabang.
“Turun padang dan rangka gerak kerja supaya PKR Terengganu menjadi hebat bukan asyik naik turun ke ibu pejabat untuk hantar memorandum 'Tolak Sharifah'. Sungguh memalukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!