Ramai memandu tanpa lesen

Mohamat Johar melihat pemeriksaan asap dan bunyi oleh anggota penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar.
Mohamat Johar melihat pemeriksaan asap dan bunyi oleh anggota penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar.
A
A
A

PERAI - Sebanyak 406 notis kesalahan dikeluarkan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang empat hari Op Khas Musim Perayaan Tahun Baru Cina (TBC) 2019 yang diadakan sejak 29 Januari lalu.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Mohamat Johari Mat Nor berkata, antara kesalahan tertinggi dikesan adalah tiada lesen memandu yang sah iaitu sebanyak 68 kes diikuti dengan cukai jalan tamat tempoh (42 kes) dan kenderaan muatan berlebihan berlebihan (33 kes).

Menurutnya, kesalahan lain yang dikesan seperti gagal mematuhi lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, menggunakan lorong kecemasan dan tayar kenderaan haus.

“Operasi ini akan berlangsung sehingga 12 Februari ini melibatkan 140 anggota dengan memfokuskan beberapa strategi dalam menyasarkan pengguna motosikal, kenderaan kereta motor persendirian, kenderaan perkhidmatan awam dan kenderaan barangan.

“Rondaan penguatkuasaan di kawasan lebuh raya dan jalan utama di negeri ini akan dilakukan dan fokus tujuh kesalahan utama termasuk mengambil tindakan terhadap kenderaan barangan yang tidak mematuhi perintah sekatan perjalanan dalam tempoh larangan dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Op Khas Motosikal di Jambatan Pulau Pinang di sini, semalam.

Mohamat Johari berkata, sempena op khas itu, JPJ mengambil beberapa pendekatan antaranya melakukan pemeriksaan bas di depoh oleh Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ melibatkan bahagian teknikal bas ekspres dan bas tambahan yang akan beroperasi sempena perayaan Tahun Baru Cina.

“Selain itu, pemeriksaan turut dilakukan JPJ di terminal bas utama di negeri ini iaitu dengan menempatkan anggota di Terminal Bas Sungai Nibong dan Penang Sentral.

Artikel Berkaitan:

“Sepanjang operasi diadakan sebanyak 198 buah bas diperiksa dan empat daripadanya diambil tindakan. Kita juga mengeluarkan notis kesalahan terhadap sebuah bas yang didapati tayarnya haus dan lima kes teknikal iaitu masalah pintu kecemasan rosak serta cermin retak,” katanya.

Mengulas mengenai Op Khas Motosikal yang diadakan semalam, Mohamat Johari berkata, sebanyak 728 buah motosikal diperiksa dan sebanyak 122 notis serta saman dikeluarkan.

“Operasi ini turut disertai polis dari bahagian trafik dan narkotik, Jabatan Imigresen, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Alam Sekitar dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

“Dalam operasi ini, sembilan warga asing termasuk dua kanak-kanak juga ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tinggal melebihi masa yang dibenarkan.

Menurutnya, turut ditahan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun kerana menunggang motosikal curi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!