Perak peruntuk RM500,000 untuk keperluan mangsa banjir

Wan Norashikin.
Wan Norashikin.
A
A
A

PASIR SALAK - Kerajaan Perak menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan RM500,000 bagi persediaan keperluan asas mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sepanjang musim monsun pada tahun ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, keperluan itu meliputi selimut, tikar dan penjagaan diri serta keperluan untuk bayi seperti lampin pakai buang bagi memastikan keselesaan mangsa sepanjang tempoh berlindung di PPS.

"Peruntukan ini disalurkan melalui JKM dan kita beri jaminan kebajikan semua mangsa banjir yang berada di PPS akan dijaga sebaiknya sepertimana sekarang dan untuk akan datang.

"Pengerusi dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap daerah sentiasa bekerjasama dengan JKM dan agensi lain dalam menjaga keperluan mangsa ini bukan sahaja memastikan keperluan asas mencukupi, tetapi juga bekalan makanan dan minuman," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kembara Prihatin Negara (KPN) peringkat Negeri Perak di ruang legar Pejabat Daerah dan Tanah Kampung Gajah di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin.

Wan Norashikin melakukan simbolik pelepasan Kembara Prihatin Negara (KPN) peringkat Negeri Perak hari ini.
Wan Norashikin melakukan simbolik pelepasan Kembara Prihatin Negara (KPN) peringkat Negeri Perak hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah itu berkata, JKM sentiasa berada dalam keadaan siap sedia berkhidmat di PPS yang diwartakan memandangkan keadaan hujan tidak menentu.

Katanya, di sesetengah daerah seperti Hilir Perak, terdapat PPS yang telah ditutup terpaksa dibuka semula selepas banjir kembali melanda.

Artikel Berkaitan:

"Kalau dari segi persiapan itu, memang tidak ada masalah kerana ada tempat-tempat yang memang kita jangka akan berlaku banjir disebabkan hujan lebat," katanya.

Setakat jam 9 pagi tadi, seramai 318 mangsa daripada 102 keluarga di tiga daerah iaitu Kerian, Manjung dan Hilir Perak masih ditempatkan di empat PPS berikutan kejadian banjir.

Dalam perkembangan lain, Wan Norashikin berkata, barangan makanan kering dan basah yang disalurkan kepada penduduk Zon B dan C Taman Meru 2C, Ipoh yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) adalah mencukupi.

Menurutnya, selain bekalan disediakan JKM dan agensi kerajaan lain, mereka turut menerima sumbangan makanan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan termasuk ahli keluarga berupa barangan kering dan basah seperti sayur dan ikan.

"Sumbangan makanan yang kita terima ini dikumpulkan di dewan orang ramai dan akan diselaraskan oleh JKM sebelum dihantar dari rumah ke rumah oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Kita lakukan penyelarasan sebaik mungkin supaya semua bantuan ini sampai kepada golongan yang disasarkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!