Doula tidak berdaftar di Malaysia
KUALA LUMPUR - Doula hanya seorang peneman wanita sepanjang proses melahirkan dan berpantang dan bukan berfungsi sebagai penasihat atau memberi khidmat perubatan ketika dan selepas kehamilan
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tugas mereka menjaga ketika berpantang dalam aspek mental dan fizikal serta emosi sahaja.
"Di Malaysia pada masa ini, doula tidak berdaftar dengan mana-mana pertubuhan dan latihan serta perkhidmatan yang diberikan juga tidak jelas.
"Sekiranya ingin memberikan perkhidmatan sebagai peneman, mereka harus melalui latihan dan mempunyai garis panduan serta polisi yang perlu dipatuhi.
"Seorang doula dilarang memberikan nasihat perubatan atau nasihat berkaitan 'pro-natural birthing' atau 'gentle birthing'," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (DAP-Bandar Kuching) yang ingin mengetahui pelan kerajaan untuk mengatur trend kelahiran menggunakan khidmat doula di Malaysia bagi memastikan tiada peningkatan kadar kelahiran tidak selamat dan kematian ibu atau anak.
Dalam pada itu, Dr Adham (BN-Tenggara) berkata, kumpulan doula atau bidan bukan jururawat kebidanan kerana mereka tidak berdaftar di bawah Akta Bidan 1966 (Akta 436).
"Subseksyen 14(1) akta tersebut memperuntukkan mana-mana individu mengamalkan amalan perbidanan tanpa pendaftaran mengikut akta itu adalah melakukan kesalahan boleh dikenakan denda RM2000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!