Ronaldo bukan anak emas Pirlo

Pirlo (kiri) menegaskan Ronaldo tidak mendapat layanan istimewa di Juventus.
Pirlo (kiri) menegaskan Ronaldo tidak mendapat layanan istimewa di Juventus.
A
A
A

PENGENDALI Juventus, Andrea Pirlo menafikan Cristiano Ronaldo mendapat layanan istimewa di kelab tersebut.

Sebaliknya, dia menegaskan Ronaldo dilayan sama seperti pemain lain walaupun memiliki status sebagai pemain terbaik dunia.

"Saya melayannya seperti pemain lain dan saya mudah didekati sama ada di padang atau di luar padang.

"Saya senang untuk bekerjasama dengan pemain atau orang yang merendah diri seperti Ronaldo. Saya juga tidak pilih kasih, saya hormati dia sama seperti saya lakukan kepada pemain muda seperti Gianluca Frabotta atau Manolo Portanova," katanya.

Ronaldo memulakan musim ini dengan langkah kanan apabila telah menjaringkan lapan gol dalam enam perlawanan walaupun berdepan beberapa masalah termasuk dijangkiti Covid-19 baru-baru ini.

Malah, pemain berusia 35 tahun itu turut meledak dua gol ketika kemenangan ke atas Cagliari 2-0 dalam aksi Serie A, kelmarin.

Dalam pada itu, Pirlo mengakui Juventus mendapat tonik apabila dia kini boleh menggandingkan Ronaldo, Paulo Dybala dan Alvaro Morata dalam perlawanan akan datang.

Menurutnya, dia gagal meletakkan ketiga-tiga pemain itu dalam pasukan selepas Ronaldo dijangkiti Covid-19, Dybala yang mengalami kecederaan dan Morata yang perlu menyesuaikan diri terlebih dahulu selepas dipinjamkan ke Atletico Madrid.

Artikel Berkaitan:

"Dari permulaan musim ini memang saya mahu menggandingkan mereka bersama, tetapi tidak berhasil kerana ketiga-tiga mereka tidak berada dalam tahap terbaik.

"Namun, sekarang saya mempunyai pilihan untuk meletakkan mereka bersama di bahagian serangan dan saya menjangkakan Juventus akan lebih tajam selepas ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!