Graduan hospitaliti tanam sayuran bebas racun perosak
KLANG - Terinspirasi daripada pemilik-pemilk restoran yang mahukan sayur-sayuran berkualiti dan bebas racun perosak mendorong graduan bidang hospitaliti, John-Hans Oei, 31, mengusahakan ladang salad dan tomato menggunakan kaedah pertanian lestari.
Beliau yang sebelum ini menceburi bidang pengurusan sisa selama lapan tahun sanggup berhenti kerja dan memulakan kerjaya sebagai petani moden.
“Sebelum ini saya bekerja dalam bidang pengurusan sisa dan sering berurusan dengan pelanggan yang kebanyakannya pengusaha restoran.
“Mereka sering mengadu sukar mendapatkan stok sayur-sayuran yang berkualiti dan bebas racun perosak kerana bilangan pengusaha dalam bidang berkenaan tidak ramai.
“Jadi, saya rasa ia adalah peluang terbaik untuk saya menceburi bidang ini. Saya nekad berhenti kerja walaupun ada yang menganggap keputusan saya itu salah.
“Pada mulanya saya mengusahakan ladang sayuran menggunakan kaedah tradisional tetapi pulangannya tidak seberapa. Lagipun saya fikir kaedah tradisional tidak sesuai kerana menggunakan banyak racun, baja dan sebagainya. Kosnya juga agak tinggi,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.
Menurutnya, sejak itu beliau mula memikirkan kaedah yang sesuai untuk menghasilkan sayuran berkualiti tanpa menggunakan bahan perosak.
“Mendiang nenek selalu berpesan, jika beri orang lain makan, kita perlu sediakan bahan yang betul-betul berkualiti. Jadi, saya mula rasa bertanggungjawab untuk mengeluarkan produk sayuran yang betul-betul berkualiti dan bebas bahan perosak serta racun.
“Saya gunakan peluang ke Amerika Syarikat (AS) untuk belajar bagaimana menggunakan teknologi sesuai dalam pertanian.
"Saya mengambil masa dua tahun setengah untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.
Hans Oei berkata, dengan bermodalkan kira-kira RM5 juta, beliau mengusahakan ladang salad dan tomato pada Mac 2018 yang berkeluasan kira-kira 0.96 hektar di Kampung Perepat, Kapar di sini menggunakan kaedah pertanian lestari.
Menurutnya, syarikatnya, Cultiveat Group Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat pengeluar salad pertama yang menggunakan kaedah teknologi yang dipanggil Cultiveat.
“Kita mengeluarkan kira-kira 18 jenis salad dan tiga jenis tomato yang sangat berkualiti tinggi kerana menggunakan kaedah Cultiveat.
“Dahulu, dalam sebulan kita terpaksa menggunakan kira-kira 300,000 polibag dan 150,000 kilogram baja untuk menanam sayur-sayuran.
“Apabila kita guna baja, ia tidak boleh dikitar semula dan perlu dibuang. Ia bukan sahaja melibatkan kos, malah boleh mencemarkan alam sekitar,” katanya.
Berbeza apabila menggunakan teknologi Plant Cartrage, anak jati Petaling Jaya itu berkata, cahaya, kelembapan dan air untuk memberikan keadaan ideal bagi pertumbuhan tanaman yang optimum boleh diatur.
“Kita guna reka sistem penyaluran air untuk jumlah air yang tepat bergantung kepada sayuran, sistem penyejukan udara semula jadi yang menjaga suhu tanah tanpa menghiraukan panas terik dan sistem atap gelangsar automatik yang dirancang untuk memberikan teduh atau cahaya matahari ketika diperlukan,” katanya.
Menurutnya, pertumbuhan tanaman pula 30 peratus lebih cepat dan kos pengeluaran 50 peratus lebih rendah, selain 90 peratus lebih sedikit penggunaan air berbanding pertanian tradisional.
“Proses tuaian juga lebih cepat antara empat hingga tujuh minggu. Dalam sebulan, kita dapat menuai lapan hingga 10 tan salad, manakala dua hingga tiga tan tomato untuk dipasarkan kepada pelanggan tetap,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, amalan konsep pertanian lestari melayakkan Cultiveat Group Sdn Bhd diiktiraf oleh Jabatan Pertanian melalui pensijilan Malaysian Good Agricultural Practice (myGap).Hans Oei yang merupakan Ikon Agro Selangor 2020 berkata, pengiktirafan itu menjadi pendorong kepada syarikatnya untuk lebih gigih berusaha dan terus maju dalam mengeluarkan tanaman yang lebih berkualiti.
“Ia penghargaan kepada syarikat dan dengan adanya sijil ini, hasil tanaman kami boleh dipasarkan ke luar negara seperti Singapura yang mendapat permintaan tinggi di sana.
“Jabatan Pertanian melalui Pejabat Pertanian Daerah Klang telah membantu saya memperoleh sijil myGap. Sijil ini membuktikan produk syarikat adalah berkualiti tinggi dan selamat dimakan.
“Sebab itu, sijil myGap penting bagi petani atau pengusaha tanaman kerana tidak semua layak menerima sijil ini. Saya sangat berterima kasih kepada Jabatan Pertanian Selangor kerana banyak membantu dari segi pasaran dan tunjuk ajar kepada kami,” ujarnya.
Ditanya mengenai peruntukan sebanyak RM410 juta yang diperuntukkan kerajaan dalam Belanjawan 2021, Hans Oei berkata, ia membuktikan kerajaan prihatin terhadap sektor pertanian dan industri makanan.
“Peruntukan itu dapat menarik minat golongan muda menceburi bidang pertanian. Ia juga bukti kerajaan mahu memperkasakan sektor pertanian kerana ia salah satu sektor terpenting di Malaysia.
“Sebelum ini segelintir pihak hanya menganggap sektor pertanian untuk mereka yang tiada pelajaran. Tanggapan ini kita kena perbetulkan.
“Dengan suntikan dana diberikan kerajaan dan teknologi terkini yang boleh diguna pakai, tidak mustahil kita dapat melahirkan usahawan pertanian muda berjaya dan mampu membolosi pasaran antarabangsa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!