Lebih RM16 juta baiki balai, pondok polis

Ismail Mohamed Said
Ismail Mohamed Said
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa mengkaji keperluan menaiktaraf fasiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk balai dan pondok polis dari masa ke masa demi menjamin keselesaan dan keselamatan rakyat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, dari segi logistik dan fasiliti KDN melalui PDRM memberikan keutamaan kepada kerja-kerja pembaikan dan naik taraf premis PDRM yang uzur serta lebih mendesak.

"Bagi pembangunan fizikal pada tahun 2019 di bawah Belanja Pembangunan (DE), KDN memperuntukkan sejumlah RM16,847,794 untuk PDRM bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan di 858 buah balai dan pondok polis di seluruh Malaysia.

"Pada tahun 2020, tambahan sebanyak RM67.52 juta di bawah DE disalurkan KDN untuk pembaikan pejabat dan kuarters PDRM," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr Hasan Bahrom (Amanah-Tampin) mengenai apakah perancangan yang lebih menyeluruh dilakukan kementerian itu bagi menggantikan balai polis daerah dan juga pondok polis sama ada diganti baharu atau diubahsuai.

Dalam pada itu, Ismail (BN-Kuala Krau) berkata, peruntukan sebanyak RM50.17 juta juga diluluskan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) untuk pembaikan kecil dan penyelenggaraan bangunan serta fasiliti PDRM pada tahun 2020.

Menurutnya, pada masa sama, PDRM mengenal pasti bangunan lama yang usang untuk dibaiki dan dinaik taraf dengan menyenaraikan projek tersebut dalam Rancangan Pelaksanaan Program/Projek Pelan Strategik PDRM (PSPDRM) tahun 2015 hingga 2020.

"Terdapat 54 projek yang disenaraikan termasuk lapan daripada empat projek tersebut diluluskan manakala baki sebanyak 46 projek yang belum diluluskan adalah melibatkan pelbagai kategori bangunan termasuklah pembinaan balai serta perumahan di seluruh Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, PDRM sedang melakukan tindakan susulan untuk melaksanakan pembangunan baharu ini bagi bangunan lama yang tidak ekonomik untuk dibaiki.

Menurutnya, bangunan-bangunan yang dikenalpasti ini akan disenaraikan mengikut keutamaan dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-12.

"Perancangan projek ini penting dalam usaha PDRM memenuhi keperluan dan meningkatkan imej serta tahap rasa selamat masyarakat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!