'Kami dah biasa nampak buaya'

Kelibat buaya berjemur di tebing Sungai Lalang dirakam penduduk berhampiran.
Kelibat buaya berjemur di tebing Sungai Lalang dirakam penduduk berhampiran.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kelibat buaya di permukaan sungai dekat Kampung Pinang Luar, Sungai Lalang yang tular di media sosial diakui telah disedari sejak sekian lama namun reptilia itu tidak pernah mengancam penduduk.

Penduduk, Osman Mona, 73, berkata, kedudukan sungai yang terletak di belakang rumahnya membolehkan dia kerap kali terlihat kemunculan buaya terutamanya setelah semak di kiri dan kanan sungai dibersihkan baru-baru ini.

Menurutnya, dalam tempoh 38 tahun menetap di kampung itu, dia pernah terserempak dengan haiwan berkenaan beberapa kali termasuk ketika keluar mencari udang beberapa tahun sebelum ini namun sentiasa berhati-hati jika menyedari kehadirannya.

"Masa atas perahu pernah nampak buaya muncul beberapa ketika tetapi bila nampak orang, buaya itu beredar ke arah lain, kita pun samalah, kalau nampak, takkan nak kacau, kita pun beredar segera.

"Ada juga buaya ini bagi petanda, bunyi seperti bergerak di air, bila kita dengar cepat-cepat alihkan perahu ke arah lain supaya tak diganggu. Kelmarin, baru sahaja cucu saya nampak kelibat buaya yang muncul dan sempat kami tengok sebelum hilang di permukaan air," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Jirannya, Siti Rohani Don, 63, berkata, dia juga pernah ternampak buaya berkenaan dan anaknya sempat merakamkan gambar dalam jarak hanya beberapa meter sahaja.

Kedudukan rumah penduduk yang terlalu hampir dengan sungai membolehkan mereka sering terserempak dengan buaya yang tinggal di habitat berkenaan.
Kedudukan rumah penduduk yang terlalu hampir dengan sungai membolehkan mereka sering terserempak dengan buaya yang tinggal di habitat berkenaan.

"Kami biasa tengok dia muncul dan tak berani kacau, setakat ini tiada apa-apa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam rakaman video dan beberapa keping gambar yang dikongsi di Facebook berkaitan kemunculan buaya di sungai dekat Kampung Pinang Luar, Sungai Lalang tular sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim mengesahkan kehadiran haiwan berkenaan telah dikesan sejak sekian lama.

Menurutnya, terdapat cadangan memasang papan tanda amaran sebagai langkah berjaga-jaga di kawasan berkenaan.

"Berdasarkan pemantauan kami, memang terdapat buaya namun ia tidak mengganggu manusia dan sudah menjadi tabiat buaya berjemur di tebing sungai," katanya.

Jamalun Nasir berkata, sungai terbabit menjadi habitat haiwan itu sejak sekian lama dan dianggarkan terdapat kira-kira 30 hingga 40 ekor buaya di sungai berkenaan.

Katanya, penduduk diminta berhati-hati melalui kawasan berhampiran dan dinasihatkan tidak mengganggu haiwan terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!