Bakar seluar tengah laut minta diselamatkan
JASIN - Dua nelayan yang tidak pulang ke rumah selepas keluar menangkap kupang sejak petang semalam ditemukan selamat dalam jarak enam kilometer (KM) dari Jeti Pengkalan Nelayan Sungai Rambai pagi tadi.
Mangsa, Johari Jalil, 42, dan rakannya Khairul Azmin Mohd Adnan, 36, keluar menangkap kupang sejak jam 3 petang semalam dan merancang untuk pulang ke darat sebelum menjelang senja.
Johari berkata, ketika kejadian mereka baharu memulakan perjalanan dan tidak menyedari bot fiber yang dinaiki mereka telah kehabisan minyak hingga menyebabkan bot dihanyutkan ke tengah laut dan tersadai kira-kira lebih 15 jam.
Menurutnya, dia turut membakar seluar yang dipakai bagi menarik perhatian nelayan lain mahupun pasukan penyelamat bagi mengesan kedudukan mereka memandangkan hari semakin gelap, namun usaha itu tidak berjaya.
"Lampu suluh pun kami tak bawa jadi terpaksalah saya bakar seluar harap-harap ada orang nampak malangnya tak berjaya.
"Masa itu rasa bimbang juga, sudahlah telefon bimbit kehabisan bateri dan kerana tiada pilihan lain kami mengambil keputusan menunggu sehingga hari cerah, sebelum diselamatkan pagi ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Faisal Fuad berkata, seramai sembilan anggota dikejarkan ke lokasi untuk mencari kedua-dua mereka.
"Bagaimanapun mereka berjaya ditemukan dalam keadaan selamat selain tidak mengalami sebarang kecederaan tidak jauh dari jeti nelayan tersebut oleh pasukan kami yang turut dibantu nelayan tempatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!