Kanak-kanak maut tergelincir dalam tali air
KOTA BHARU - Kegirangan tiga sekawan berjalan di tepi tali air di Kampung Telaga Bata Sering, Pengkalan Chepa di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripadanya tergelincir dan terjatuh di dalam tali air tersebut pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Fakri Mazlan berkata, mangsa, Muhamad Alif Asyraf Parudin, 13, yang beralamat di Kampung Jal Besar, Tumpat di sini ditemui pada jam 10.43 pagi tadi.
“Kita menerima laporan pada jam 10.08 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian. Tiga anggota turun menyelam dan mencari mangsa dan telah menjumpai mangsa di dasar tali air tersebut.
“Operasi berjalan lancar kerana tiada arus deras. Mangsa dijumpai lebih kurang dua meter dari lokasi kejadian selepas 15 minit operasi dijalankan,” katanya di sini hari ini.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!