329 individu ditahan ingkar PKPP

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jumlah individu ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam menunjukkan penurunan apabila mencatatkan penangkapan 329 individu berbanding 807 individu pada hari sebelumnya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka seramai 131 individu, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (59), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (50), rentas negeri atau daerah PKPB tanpa kebenaran (38) dan lain-lain (51).

"Daripada jumlah itu, seramai 311 individu telah dikompaun manakala lima individu pula direman dan 13 dijamin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tindakan diambil hasil pemeriksaan Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata Operasi Benteng yang dilaksanakan bagi mengekang jenayah rentas sempadan berjaya memberkas 88 pendatang tanpa izin, lima tekong serta merampas 13 kenderaan darat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai lalu sehingga semalam, seramai 73,713 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 76 hotel serta 18 Institut Latihan Awam dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 10,152 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 405 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 63,156 individu telah discaj dan dibenarkan pulang,” katanya sambil menambah kesemua mereka pulang dari 36 negara.

Berkaitan pemantauan barang keperluan asas, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 652 premis perniagaan termasuk 458 peruncit, 161 pemborong dan 33 pengilang.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, pegawai penguat kuasa KPDNHEP turut melakukan 895 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati kesemua premis yang diperiksa mematuhi arahan ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau menggesa pengusaha dan orang ramai agar mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya ketika menjalankan aktiviti jual beli barangan keperluan harian.

Berhubung Ops Sanitasi Awam Covid-19 semalam, katanya sebanyak 50 operasi sanitasi meliputi 13 zon merah, enam zon jingga, tujuh zon kuning dan 10 zon hijau melibatkan sembilan negeri dan satu Wilayah Persekutuan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!