Insiden tembak tidak melemahkan anggota keselamatan
ALOR SETAR - Insiden seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang maut ditembak ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar pagi tadi tidak akan melemahkan semangat anggota keselamatan untuk terus menjaga sempadan negara.
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, Op Benteng di Kedah akan berjalan seperti biasa dan pasukannya tetap fokus dengan tanggungjawab masing-masing.
Menurutnya, setakat ini kawalan ketat sudah pun dilaksanakan di sempadan Kedah dan negara jiran dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan lain.
"Insiden ini tidak akan melemahkan semangat kami. Kejadian yang berlaku akan membakar lagi semangat kami untuk menjaga kawasan dan menjalankan tanggungjawab masing-masing.
"Cuma saya ingin mengingatkan anggota keselamatan yang bertugas di sempadan sentiasa menjaga diri dan keselamatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Hasanuddin berkata, polis mengiringi mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54, sehingga ke kampung halamannya di Bahau, Negeri Sembilan.
Turut kelihatan di hospital ialah pendakwah, Ustaz Ebit Lew yang turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga mendiang melalui adik tirinya, Koperal Basir Sampe, 43.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini maut akibat ditembak awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam 3.10 pagi itu, mangsa sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal T Norihan, 39 yang turut mengalami kecederaan parah.
Jenazah mendiang dihantar ke HSB untuk proses bedah siasat manakala mangsa cedera sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah dengan keadaannya dilaporkan kritikal.
ARTIKEL BERKAITAN: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand
Kes tembak di sempadan: Seorang lagi anggota PGA cedera
Kes tembak: Polis Perlis tahan dua penyeludup warga Thailand
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!