Kuala Lumpur cari jurulatih baharu

Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur terpaksa mencari jurulatih baharu kerana Mohd Nidzam tidak memiliki lesen Pro A yang disyaratkan FAM bagi setiap jurulatih untuk membimbing pasukan Liga Malaysia 2021.
Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur terpaksa mencari jurulatih baharu kerana Mohd Nidzam tidak memiliki lesen Pro A yang disyaratkan FAM bagi setiap jurulatih untuk membimbing pasukan Liga Malaysia 2021.
A
A
A

NAIB juara Liga Premier musim ini, Kuala Lumpur sedang mengintai khidmat jurulatih baharu bagi mengisi tempat Mohd Nidzam Adzha Yusoff sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Super 2021 yang dijadualkan bermula 27 Februari depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata, persatuan itu terpaksa mencari jurulatih baharu kerana Mohd Nidzam tidak memiliki lesen Pro A yang disyaratkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi setiap jurulatih untuk membimbing pasukan Liga Malaysia 2021.

Menurutnya, KLFA sedang berbincang dengan beberapa jurulatih asing termasuk dari Chile, Portugal, Lubnan dan Brazil serta jurulatih tempatan dan keputusan muktamad dijangka diputuskan pada hujung bulan ini.

“Senarai nama jurulatih sudah ada. Kita sedang mengadakan perbincangan kerana kebanyakan daripada mereka (jurulatih asing) dicadangkan oleh ejen masing-masing.

"KLFA akan menawarkan kontrak selama enam bulan terlebih dahulu, sebelum melanjutkan kontrak jurulatih berkenaan kepada setahun pada pertengahan tahun depan jika mencapai prestasi ditetapkan," katanya hari ini.

Katanya, jurulatih baharu itu perlu mencapai sasaran membawa skuad warga kota dalam kelompok enam pasukan terbaik dalam saingan Liga Super 2021 atau bakal digantikan dengan jurulatih lain.

Dalam pada itu, Nokman berkata, KLFA juga akan memutuskan senarai akhir pemain termasuk pemain import yang beraksi dengan pasukan berkenaan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

"Setakat ini hanya tiga pemain menandatangani kontrak selama dua tahun dengan KLFA iaitu penjaga gol Khatul Anuar Md Jalil, pemain tengah Zhafri Yahya dan pemain import dari Brazil, Paulo Josue.

Artikel Berkaitan:

"KLFA sudah menawarkan kontrak kepada 12 daripada 18 pemain sedia ada dan bergantung kepada mereka untuk bersetuju dengan lanjutan kontrak berkenaan.

"Kita mungkin serapkan enam pemain daripada skuad Piala Presiden (Bawah 21 tahun) dalam skuad Liga Super manakala baki sembilan pemain dikekalkan untuk saingan Piala Presiden musim depan," katanya.

Menurutnya, skuad warga kota dijangka kembali menyambung latihan di Lembah Klang bermula pertengahan bulan depan, namun bergantung kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berkuat kuasa ketika ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!