Tiga warga Thailand ditahan kes tembak di sempadan
BANGKOK - Pihak berkuasa Thailand menahan tiga rakyatnya dipercayai terlibat dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand, di Perlis, mengorbankan seorang anggota polis Malaysia hari ini.
Komander Divisyen ke-5 Infantri Thailand, Mejar Jeneral Santi Sakuntanak berkata, ketiga-tiga suspek, seorang dalam keadaan kritikal manakala dua lagi mengalami kecederaan, kini ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kami akan memudahkan pihak berkuasa Malaysia dalam siasatan ini,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, Santi tidak mendedahkan di mana suspek berkenaan ditahan.
ARTIKEL BERKAITAN: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand
Kes tembak di sempadan: Seorang lagi anggota PGA cedera
Kes tembak: Polis Perlis tahan dua penyeludup warga Thailand
Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) terkorban manakala seorang lagi cedera parah dalam kejadian berbalas tembakan itu antara anggota PGA dengan dua kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Perlis hari ini.
Koperal Baharuddin Ramli meninggal dunia di tempat kejadian manakala Koperal Norihan a/l Tari yang mengalami kecederaan parah dirawat di Hospital Tuanku Fauziah di Kangar.
Siasatan awal mendapati kedua-dua anggota PGA itu yang terlibat dalam tugas risikan di lokasi berkenaan apabila mereka bertembung dengan dua kumpulan penyeludup terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing.
Santi berkata Komander Wilayah 4 telah menghantar surat kepada pejabat Penyelarasan Sempadan Thailand-Malaysia untuk mengucapkan takziah kepada keluarga anggota PGA yang terkorban dan anggota yang mengalami kecederaan dalam insiden itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!