Wujud plot bunuh saya di penjara: bekas PM Macedonia

Bekas PM Macedonia, Nikola Gruevski.
Bekas PM Macedonia, Nikola Gruevski.
A
A
A

SKOPJE - MACEDONIA. Bekas perdana menteri Macedonia yang dalam pelarian, Nikola Gruevski mendakwa beliau melarikan diri ke Hungary walaupun dijatuhi hukuman kerana penyalahgunaan kuasa selepas menerima ancaman bunuh di penjara.

Gruevski, yang rapat dengan Perdana Menteri Hungary Viktor Orban, melarikan diri ke Budapest pada November 2018 untuk mengelak daripada menjalani hukuman penjara dua tahun.

Beliau turut diberikan perlindungan suaka.

Dalam wawancara pertamanya bersama stesen televisyen Sitel Macedonia sejak melarikan diri, Gruevski berkata pada mulanya beliau rela dipenjarakan walaupun melabelkan “penghakiman gila tanpa asas undang-undang”.

“Tetapi saya menerima maklumat yang seseorang merancang pembunuhan saya dalam penjara.

"Ketika itu saya menukar keputusan saya,” kata Gruevski.

Beliau berkata mendapat maklumat mengenai rancangan pembunuhan daripada “mereka yang maklum dengan penjara”.

“Saya tidak boleh mengatakan secara terbuka siapa yang berada di belakang plot ini kerana saya tidak dapat membuktikannya pada masa itu.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, saya memutuskan meninggalkan Macedonia selepas itu," katanya.

Gruevski memerintah Macedonia selama hampir satu dekad hingga 2016, apabila bukti menunjukkan skim pengintipan berleluasa dilakukan oleh pentadbirannya menyebabkan kejatuhannya.

Bekas perdana menteri sejak itu menjadi sasaran beberapa pendakwaan dan tahun lalu didapati bersalah menggunakan Mercedes kerajaan mewah untuk perjalanan peribadi.

Pada 11 November, Gruevski melakukan pelarian dramatik melalui Albania, Montenegro, dan Serbia sebelum sampai ke Hungary.

Gruevski berkata, beliau memilih Hungary kerana ia adalah anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan Kesatuan Eropah (EU) serta negara dengan institusi yang bebas. – AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!