Vaksin Sputnik V 95 peratus berkesan
MOSCOW - Analisis interim kedua data ujian klinikal vaksin koronavirus (Covid-19) dihasilkan Rusia menunjukkan ia 95 peratus berkesan.
Vaksin Sputnik yang diberikan secara dua dos itu dijual dengan harga kurang AS$10 (RM41) setiap satu dos bagi pasaran antarabangsa dan ia adalah percuma untuk warga Rusia.
Ia juga boleh disimpan pada suhu dua dan lapan darjah celsius berbanding suhu di bawah beku yang diperlukan terhadap penyimpanan beberapa vaksin lain.
Kementerian Kesihatan, Pusat Penyelidikan Gamaleya dan Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF) dalam satu kenyataan bersama memaklumkan kiraan keberkesanannya dibuat berdasarkan data awal yang diperoleh selepas 42 hari pemberian suntikan dos pertama.
"Angka berdasarkan 39 kes mendapati Sputnik V adalah 91.4 peratus efisien dalam tempoh 28 hari selepas suntikan dos pertama. Selepas pemberian dos kedua, keberkesanannya mencapai lebih 95 peratus," ujar mereka.
Sementara itu, Pengarah Gamaleya, Alexander Gintsburg berkata, analisis kedua pula diperoleh seminggu selepas sukarelawan mendapatkan suntikan dos kedua.
"Tubuh mereka sebahagiannya bertindak balas terhadap kedua-dua dos Sputnik V tersebut," jelasnya yang menjangkakan kadar keberkesanannya akan menjadi 'lebih tinggi' dalam tempoh tiga minggu selepas pemberian dos kedua.
Difahamkan, seramai 22,000 sukarelawan telah diberikan suntikan dos pertama manakala lebih 19,000 diberikan suntikan kedua-dua dos vaksin.
Ujian klinikal di luar negara turut dilakukan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Venezuela, Belarus dan negara lain.
Pada Ogos lalu, Moscow menjadi negara pertama di dunia mendaftarkan vaksin Covid-19 walaupun ujian klinikal berskala besar masih dijalankan.
Bulan lalu, Presiden Vladimir Putin mengumumkan Rusia juga telah mendaftarkan vaksin kedua, EpiVacCorona yang membawa kepada perjanjian pembuatan dengan China dan India serta menggalakkan Brazil dan Afrika Selatan menghasilkan vaksin buatan Moscow secara besar-besaran.
Pengumuman itu dibuat selepas firma farmaseutikal Pfizer dan BioNTech mengumumkan keberkesanan vaksin dihasilkan mereka pada tahap 95 peratus disusuli dengan Moderna yang mendakwa vaksin berpotensi mereka adalah 94.5 peratus efisien dan vaksin lebih murah dihasilkan Oxford University, AstraZeneca yang berkesan sehingga 70 peratus. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!