BWF agih geran kepada lebih 100 persatuan
PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) telah mengagihkan dana berjumlah kira-kira AS$500,000 (RM2.043 juta) di bawah Program Geran Keahliannya kepada lebih daripada 100 buah persatuan setakat ini.
Badan induk badminton dunia itu percaya program pemberian geran yang diaktifkan tahun ini dapat memberi peluang kepada ahli persatuan mendapatkan sokongan bersesuaian bagi mereka membangunkan sukan badminton di negara masing-masing.
“Memandangkan penularan pandemik Covid-19 yang tidak menentu, adalah sangat penting untuk kami mendekati dan memberi sokongan kepada ahli-ahli kami. Program Geran Keahlian BWF menyediakan platform yang bersesuaian untuk mencapai matlamat ini pada tahun 2020.
"Untuk jangka masa panjang, kami melihat program pemberian geran secara berterusan dan konsisten dapat membantu ahli-ahli melaksanakan aktiviti badminton di negara mereka," kata Presiden BWF, Poul-Erik Hoyer dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, BWF mengambil keputusan untuk menyelaras program geran untuk tahun ini bagi memenuhi keperluan semasa persatuan ahli, terutama yang terkesan dengan pandemik Covid-19 serta sekatan perjalanan antarabangsa dan aktiviti akibat wabak tersebut.
Oleh itu, katanya, dana yang dikeluarkan adalah seiring dengan tema ‘Kembali kepada Badminton’, bertujuan untuk merangsang kembali aktiviti badminton mengikut keadaan semasa.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh mengesahkan bahawa mereka bukan antara penerima kerana pemberian geran berkenaan hanya melibatkan ahli persatuan dari negara sedang membangun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!