Berita palsu punca tak jalani saringan Covid-19 percuma

Berita palsu kononnya vaksin untuk Covid-19 akan tersedia tidak lama lagi dipercayai antara sebab ramai penduduk Sandakan enggan mengambil peluang untuk menjalani saringan Covid-19 percuma. Foto 123RF
Berita palsu kononnya vaksin untuk Covid-19 akan tersedia tidak lama lagi dipercayai antara sebab ramai penduduk Sandakan enggan mengambil peluang untuk menjalani saringan Covid-19 percuma. Foto 123RF
A
A
A

SANDAKAN - Berita palsu kononnya vaksin untuk Covid-19 akan tersedia tidak lama lagi yang tular di media sosial dipercayai antara sebab ramai penduduk Sandakan enggan mengambil peluang untuk menjalani saringan Covid-19 secara percuma.

Timbalan Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin meminta orang ramai agar tidak mempercayai berita itu, sebaliknya sentiasa patuh kepada nasihat pihak berkuasa dengan menjalani saringan berkenaan.

“Jangan percaya pada berita palsu yang menyuruh masyarakat supaya jangan buat saringan (kerana) kononnya ada vaksin tidak lama lagi. Ini (berita palsu) menyusahkan masyarakat.

“Kalau ada aduan mengenai berita palsu, kami (polis) akan menjalankan siasatan untuk mengetahui tujuan sebenar mereka menularkan berita yang bukan-bukan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Azhar, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama agensi berkaitan sentiasa komited mengadakan saringan secara percuma setiap hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di Sandakan pada 9 Oktober lepas.

Katanya, masyarakat harus mengambil peluang dengan menjalani saringan percuma dan bersama-sama membantu barisan hadapan yang bekerja keras untuk memutuskan rantaian Covid-19 itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!