Buku catatan Charles Darwin 'dicuri'
LONDON - Buku catatan Charles Darwin yang mengandungi idea perintis beliau tentang evolusi dan lakaran terkenal, Pohon Kehidupan (Tree of Life) didakwa telah dicuri, menurut Perpustakaan Universiti Cambridge di United Kingdom (UK) hari ini.
Saintis Britain terbabit mula menggunakan buku catatan kulit itu pada tahun 1873 selepas beliau kembali mengikuti pelayaran bersama HMS Beagle dan ia dikatakan bernilai jutaan pound.
Pada salah satu buku terbabit, Darwin melukis rajah yang menunjukkan beberapa kemungkinan evolusi spesies dan kemudiannya menerbitkan ilustrasi lebih jelas menerusi buku berjudul 'On the Origin of Species' pada tahun 1859.
Perpustakaan terbabit pertama kali menyenaraikan tentang kehilangan buku catatan tersebut pada tahun 2001 selepas ia dibawa keluar daripada bilik koleksi khas untuk sesi fotografi.
Pada mulanya, ia dipercayai telah ditempatkan di bahagian yang salah di perpustakaan itu yang mengandungi kira-kira 10 juta buku, peta dan manuskrip serta salah satu arkib Darwin yang paling penting di dunia.
Bagaimanapun, usaha carian besar-besaran yang dijalankan mereka gagal untuk menemui buku catatan berharga tersebut.
"Kurator membuat kesimpulan ia dipercayai telah dicuri," kata perpustakaan itu dalam satu kenyataan.
Difahamkan, laporan rasmi polis sudah dibuat dan buku itu kini disenaraikan oleh Agensi Polis Antarabangsa (Interpol) dalam pangkalan data hasil karya yang dicuri.
Pustakawan, Jessica Gardner turut merayu bantuan orang ramai yang mungkin mempunyai maklumat tentang kehilangan buku catatan tersebut sejak lebih 20 tahun lalu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!