Bangunkan mata wang sosial

Wacana Al-Quran sesi ke-26 membincangkan topik 'Penjanaan Matawang Sosial: Suatu Analisa' yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam. Dari kiri: Fazrul Ismail selaku moderator, Dr Ahmad Faizal, Dr Mohd Daud dan Ahmad Tirmizi.
Wacana Al-Quran sesi ke-26 membincangkan topik 'Penjanaan Matawang Sosial: Suatu Analisa' yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam. Dari kiri: Fazrul Ismail selaku moderator, Dr Ahmad Faizal, Dr Mohd Daud dan Ahmad Tirmizi.
A
A
A

SHAH ALAM - Penjanaan mata wang sosial relevan untuk dibangunkan dan digunakan secara meluas kerana ia telah diguna pakai sejak dahulu lagi.

Presiden Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, bagi memastikan penjanaan mata wang sosial itu dilakukan secara menyeluruh, ia perlu melalui tiga peringkat.

“Peringkat pertama adalah dalam kalangan individu dan masyarakat setempat. Saya yakin di kebanyakan tempat di Malaysia, hubungan antara masyarakat itu baik.

“Institusi seperti masjid dan persatuan penduduk yang akrab sudah pun ada aktiviti sukarela sebelum wabak koronavirus (Covid-19) melanda. Aktiviti dilakukan atas dasar tanggungjawab sosial, maksudnya membantu orang lain dalam keadaan memerlukan bukan sesuatu yang asing.

“Jadi, struktur sudah ada. Masyarakat kita secara umumnya juga lebih berjaringan. Kalau lihat reaksi di media sosial misalnya, rakyat Malaysia begitu aktif.

“Tiada sebab mengapa ia tidak boleh dilaksanakan,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Al-Quran bertajuk ‘Penjanaan Mata Wang Sosial: Suatu Analisa’ di Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Turut menjadi panelis ialah Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar, manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator.

Qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali pula memperdengarkan bacaan Surah al-Kahfi ayat 94 hingga 95 dan surah-surah yang berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Faizal berkata, peringkat kedua memerlukan sedikit usaha iaitu dalam institusi dan organisasi.

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal

Menurutnya, selain kemahuan dan kebolehupayaan individu serta masyarakat, harus ada penerimaan daripada institusi dan organisasi.

Malah, katanya, harus ada keseragaman pemikiran bahawa mata wang sosial adalah perkara yang harus dibangunkan.

“Benar, kita galakkan rakyat memberi tanpa meminta tetapi pada masa yang sama mengenal dan mengidentifikasi bahawa ada sesetengah usaha perlu dilakukan secara berterusan.

“Dalam keadaan ekonomi sedang merudum sekarang, kita tidak boleh beri imbuhan kewangan fizikal, harus difikirkan rangka kerja iaitu imbuhan mata wang sosial dan ditebus pada masa akan datang,” katanya.

Peringkat ketiga, katanya, agak sulit kerana ia adalah peringkat negara dan negeri.

“Sebagaimana disebut dalam Surah al-Kahfi iaitu perlu ada kepimpinan yang dipercayai, kemahuan tinggi di pihak pemimpin, ada akauntabiliti dan ketelusan yang tinggi.

“Cuma pada peringkat negara dan negeri, kita perlukan kepimpinan, kepercayaan, kemahuan yang tinggi dan disertai dengan akauntabiliti dan ketelusan. Tanpanya, ia tidak mungkin ada,” katanya.

Dr Ahmad Faizal berkata, ia sebenarnya satu bulatan yang tidak boleh dipisahkan.

quote-ahmad
quote-ahmad

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!