Misteri pertemuan Netanyahu-Putera Mohammed

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kiri) didakwa mengadakan pertemuan rahsia dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman (kanan) di Jeddah, Arab Saudi pada Ahad lalu. - Foto AFP
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kiri) didakwa mengadakan pertemuan rahsia dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman (kanan) di Jeddah, Arab Saudi pada Ahad lalu. - Foto AFP
A
A
A

LAPORAN berita bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengadakan perbincangan secara rahsia dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman pada Ahad lalu telah mendapat perhatian meluas daripada pihak media dan penganalisis politik di Asia Barat.

Bagaimanapun, laporan itu kemudian dinafikan oleh Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan yang menyatakan negaranya mengelak daripada mengadakan dialog dengan rejim Zionis sehingga konflik di Palestin berjaya diselesaikan oleh Tel Aviv.

Desas-desus pertemuan itu juga menjadi misteri apabila Pejabat Netanyahu dilaporkan enggan memberikan komen berhubung perbincangan secara rahsia yang dikatakan berlaku di sebuah bandar raya baharu Arab Saudi, Neom di Jeddah.

Akhbar The Jeruslem Post, The Times of Israel dan stesen penyiaran Kan di negara Yahudi itu telah melaporkan dengan terperinci mengenai pertemuan itu.

The Jerusalem Post menyatakan Perdana Menteri Israel itu bersama Ketua Mosaad iaitu agensi perisikan negara itu, Yossi Cohen; Penasihat Keselamatan Kebangsaan Israel, Meir Ben-Shabbat dan Setiausaha Ketenteraan Netanyahu, Avi Bluth menaiki sebuah pesawat milik ahli perniagaan Yahudi, Udi Angel untuk bertemu dengan Putera Mohammed.

Pesawat itu meninggalkan Israel pada jam 5 petang Ahad lalu dan kembali ke negara tersebut selepas tengah malam.

Pertemuan itu dikatakan dilakukan bagi membincangkan mengenai Iran yang merupakan musuh Israel dan Arab Saudi.

Topik mengenai menormalkan hubungan antara Riyadh dengan Tel Aviv juga dibincangkan dalam pertemuan itu, lapor akhbar The Wall Street Journal yang memetik seorang penasihat kanan Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

Menteri Pendidikan Israel, Yoav Gallant turut mengesahkan pertemuan seumpama itu diadakan di Arab Saudi dengan menganggapnya sebagai satu pencapaian mengagumkan ketika ditemu ramah oleh Radio Tentera Israel seperti laporan akhbar The Jerusalem Post.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo dilaporkan turut sama berada dalam pertemuan itu.

Pompeo turut mengesahkkan beliau berada di bandar raya Arab Saudi itu sebagai sebahagian daripada misi lawatan ke Asia Barat dan mengadakan pertemuan dengan Putera Mohammed.

Bagaimanapun, Jabatan Negara AS enggan mengesahkan pertemuan antara Putera Mohammed, Pompeo dan Netanyahu.

Pompeo juga dilaporkan tidak menyebut tentang kehadiran pemimpin Yahudi tersebut dalam pertemuan itu.

Pompeo dilaporkan turut sama berada ketika pertemuan antara Netanyahu dengan Putera Mohammed di Jeddah. - Foto AFP
Pompeo dilaporkan turut sama berada ketika pertemuan antara Netanyahu dengan Putera Mohammed di Jeddah. - Foto AFP

Ketika ditanya mengenai lawatan ke Arab Saudi itu, Netanyahu yang ditemui semasa satu mesyuarat dengan parti Likud pada Isnin lalu berkata seperti dilaporkan oleh AFP: "Adakah anda serius? Saya tidak pernah membuat komen mengenai perkara ini (pertemuan dengan Putera Mohammed) dan saya tidak berhasrat untuk memulakannya (mengulas mengenai pertemuan itu) sekarang."

Stesen televisyen awam Israel, Kan juga melaporkan bahawa pertemuan itu turut membincangkan mengenai pentadbiran bakal Presiden AS, Joe Biden selain daripada isu mengenai Iran.

Ia turut melaporkan jet yang membawa Netanyahu itu adalah sama dengan jet yang digunakan oleh Perdana Menteri tersebut dalam lawatan rahsia ke Oman pada tahun lalu.

Sehingga kini, Oman tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Bagaimanapun, dakwaan pertemuan antara Netanyahu dengan Putera Mohammed itu terbongkar selepas terdapat pengguna Twitter mengesan penerbangan sebuah jet peribadi yang terbang antara Tel Aviv di Israel ke bandar raya Neom di Jeddah, Arab Saudi sekali gus timbul spekulasi bahawa terdapat satu mesyuarat peringkat tinggi berlangsung di negara beraja tersebut.

Sehingga kini, masih tidak dapat disahkan sama ada pertemuan antara Putera Mohammed dengan Netanyahu benar-benar telah berlaku.

Bandar raya Jeddah di Arab Saudi dikatakan menjadi tempat pertemuan sulit antara Netanyahu dengan Putera Mahkota Arab Saudi. - Foto AFP
Bandar raya Jeddah di Arab Saudi dikatakan menjadi tempat pertemuan sulit antara Netanyahu dengan Putera Mahkota Arab Saudi. - Foto AFP

Menurut laporan AFP, negara-negara Arab terutamanya, Israel kini bimbang bahawa Biden mungkin memulihkan perjanjian nuklear antara Iran dengan kuasa-kuasa dunia yang dimeterai ketika AS di bawah pemerintahan Presiden Barack Obama.

Namun, di bawah pentadbiran Presiden AS, Donald Trump bertindak menarik semula penyertaan negara tersebut dalam perjanjian itu pada tahun 2018.

Menerusi perjanjian yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) itu, program tenaga nuklear Iran akan dihadkan supaya ia tidak mengeluarkan senjata nuklear manakala pemantauan terhadap program tersebut ditingkatkan sebagai cara untuk mengelakkan Tehran dikenakan sekatan antarabangsa.

Seorang bekas pembantu keselamatan kepada Netanyahu, Yoel Guzansky yang juga bertugas dengan sebuah Institut Kajian Keselamatan Kebangsaan Israel berkata, Arab Saudi menafikan pertemuan itu diadakan bagi meredakan kemarahan rakyatnya.

Spekulasi pertemuan itu juga berlaku selepas Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain bersetuju untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel yang diusahakan oleh Trump sebelum beliau dijangka meninggalkan Rumah Putih pada Januari tahun depan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!