Penunggang motosikal maut dihempap pokok
BERUAS - Seorang penunggang motosikal maut apabila dihempap sebatang pokok kelapa sawit yang tumbang di Lorong Wawasan 2, Kampung Bakar Bata, Ayer Tawar di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 pagi itu, mangsa lelaki berusia 69 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar diketuai Mohd Sukairi Abd Latif bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa.
“Sebatang pokok kelapa sawit telah menghempap motosikal menyebabkan mangsa tersepit. Bagaimanapun, mangsa disahkan maut oleh pasukan perubatan.
“Anggota bertindak memotong pokok tersebut kepada potongan kecil dan memindahkan mangsa ke tempat selamat,” katanya.
Menurutnya, mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada jam 8.41 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mayat dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Bedah siasat akan dijalankan pada hari ini jam 2.30 petang. Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!