Mendiang Koperal Baharuddin selamat dikebumikan
JEMPOL - Mendiang Koperal Baharuddin Ramli, anggota dari Batalion 3 Anggota Gerakan Am (PGA) yang maut dalam kejadian tembakan di sempadan Malaysia-Thailand semalam selamat dikebumikan hari ini.
Mendiang dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Sungai Sampo, Air Hitam, Bandar Seri Jempol di sini pada jam 12.30 tengah hari tadi.
Jasad mendiang tiba di kediaman keluarganya di Kampung Sungai Sampo kira-kira jam 3.45 pagi selepas proses bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah selesai 6.20 petang semalam.
Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Abd Rahim Jaafar; Timbalan Pengarah KDNKA ( PGA ), Datuk Kasuahdi Ali dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusof.
Dalam kejadian tembakan awal pagi semalam Baharuddin,54, maut manakala rakan setugasnya, koperal T Norihan, 39, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pemergian mendiang Baharuddin itu satu kehilangan besar kepada negara dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, kerajaan negeri turut merasa kehilangan memandangkan mendiang Baharuddin merupakan anak jati Negeri Sembilan yang dilihat sangat berwibawa dalam melaksanakan tugas sehingga ke titisan darah terakhir.
"Takziah kepada keluarga. Kerajaan negeri turut rasa sedih atas pemergian beliau. Saya berharap ahli keluarga mendiang dapat bersabar dengan ujian ini.
"Kerajaan negeri turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,000 kepada waris Baharuddin sebagai tanda penghargaan," katanya.
Sumbangan diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teo Kok Seong mewakili menteri besar berkenaan kepada anak mendiang, Syaruh Effandy sebelum pengebumian pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam 3.10 pagi semalam, Baharuddin, 54, maut akibat terkena tembakan dipercayai anggota kumpulan penyeludup ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar.
Ketika kejadian, Baharuddin yang juga suku kaum Semelai sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan Tari, 39, yang turut terkena tembakan.
ARTIKEL BERKAITAN: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand
Kes tembak di sempadan: Seorang lagi anggota PGA cedera
Insiden tembak tidak melemahkan anggota keselamatan
Kes tembak di sempadan: Polis tahan dua penyeludup
Baharuddin komited dalam tugas
'Bapa pernah cakap mungkin nanti kena tembak'
18 lelaki direman kes tembak anggota PGA di sempadan
Dua lagi ditahan insiden tembakan di sempadan: KPN
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!