Dua nelayan hilang ditemukan selamat
KUALA MUDA - Dua nelayan yang hilang sejak kelmarin dipercayai berada dalam keadaan selamat apabila mereka ditemukan kira-kira 40 batu nautika dari jeti Kuala Muda, Penaga di sini, hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, kedua-dua lelaki itu kini dalam proses dibawa pulang.
“Kedua nelayan iaitu Yashir Abd Hamid bersama seorang awak-awak warga tempatan ditemui dalam keadaan selamat oleh nelayan lain yang berada di kawasan itu.
“Insya-ALLAH kerja-kerja membawa pulang kedua nelayan ini sedang dijalankan,” katanya.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan untuk Yashir Abd Hamid bersama seorang awak-awak yang dikhuatiri hilang ketika menaiki bot bernombor pendaftaran PPS 5367.
Mereka dikatakan keluar dari Jeti Pangkalan Kuala Muda, Pulau Pinang pada jam 4 petang kelmarin namun didapati tidak pulang sehingga hari ini.
Menurut nelayan di kawasan tersebut, kebiasaannya mangsa melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan utara Pulau Pinang dan akan pulang ke pangkalan pada jam 11 malam hari sama.
Dalam pada itu, hadir sama meninjau di pusat operasi pencarian di sini adalah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Afif Bahardin; Adun Bertam; Khaliq Mehtab Mohamed Ishaq dan Adun Penaga, Mohd Yusni Mat Piah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!