Ibu tunggal tokan dadah diberkas
SABAK BERNAM - Sepasang kekasih disyaki pengedar dadah ditahan dalam serbuan di sebuah bilik hotel di daerah ini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, wanita berusia 31 tahun berstatus ibu tunggal itu ditahan kira-kira jam 10.30 malam ketika sedang berbual dengan teman lelakinya berusia 27 tahun.
"Dalam serbuan itu polis merampas dadah jenis heroin seberat 284.9 gram dan dadah jenis syabu seberat 139.3 gram serta wang tunai bernilai RM1,900.
"Kesemua rampasan itu bernilai RM18,755," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Agus Salim berkata, wanita itu yang bertindak sebagai tokan dadah dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah sekitar daerah ini.
"Wanita tersebut mengakui terlibat dalam penagihan dadah sejak 10 tahun yang lalu dan mempunyai satu rekod jenayah memiliki dadah.
"Lelaki yang tinggal bersama wanita itu pula terlibat dalam penagihan dadah sejak lima tahun lalu dan memiliki empat rekod jenayah narkotik," katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!