GUA MUSANG - Seorang lelaki warga Bangladesh dikatakan sempat membuat ‘live’ menerusi aplikasi sosial Bigo sebelum menggantung diri di Taman Damar di sini semalam. Mangsa, Rased Islam, 27, yang bekerja sebagai buruh kontrak ditemui mati di dalam bilik tidur oleh rakannya pada jam 8.30 pagi. Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9 pagi dari rakan mangsa. “Hasil siasatan awal mendapati pada jam 10 malam 23 November lalu, mangsa telah makan bersama rakan-rakannya di tingkat bawah rumah tersebut. “Selepas makan, mangsa kemudian telah naik ke tingkat atas untuk tidur dalam biliknya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini. Menurutnya, keesokan harinya rakan mangsa telah naik ke tingkat atas rumah tersebut untuk ke bilik Rased selepas dia tidak turun ke bawah untuk keluar bekerja. Beliau berkata, sejurus membuka pintu bilik itu rakan mangsa mendapati Rased berada dalam keadaan tergantung di bahagian tingkap. Mohd Taufik berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang kesan akibat daripada perbuatan jenayah ke atas mangsa. Katanya, mangsa dikatakan tinggal di rumah tersebut lebih kurang dua minggu. “Mangsa belum berkahwin dan tidak mengalami sebarang penyakit,” katanya.