Tiga hala tuju baharu MAFI dalam RMK12
KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengenal pasti tiga hala tuju baharu dalam perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, MAFI telah mengenalpasti beberapa hala tuju baharu yang akan diterajui dalam sektor pertanian termasuk industri padi, tanaman, ternakan dan perikanan.
"Pertama, mengoptimumkan penggunaan tanah, meningkatkan aplikasi teknologi moden dan membangunkan varieti yang berkualiti bagi industri padi.
"Kedua, membangunkan komoditi sayur-sayuran dan buah buahan yang bernilai tinggi untuk tujuan domestik dan eksport bagi industri tanaman.
"Ketiga, meningkatkan pengeluaran daging dan susu melalui penubuhan Lembaga Ruminan Negara bagi industri ternakan dan keempat, memperkukuh pengurusan dan penguatkuasaan serta menambah baik infrastruktur dan kemudahan bagi industri perikanan," katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai hala tuju baharu bagi mentransformasikan sektor pertanian negara agar dapat meningkatkan tahap sara diri (SSL) seterusnya menjadi pengeksport keluaran pertanian terbesar di peringkat global.
Dalam pada itu, Ronald berkata, hala tuju tersebut di atas akan disokong oleh teknologi, kewangan dan sumber tenaga manusia bagi mengukuhkan rantaian nilai sektor agromakanan untuk meningkatkan SSL negara khususnya bagi beras (75 peratus), sayur-sayuran (70 peratus) dan daging (50 peratus) menjelang tahun 2025.
Katanya, usaha yang berterusan sentiasa dilaksanakan bagi memperkukuhkan negara sebagai pengeksport utama agromakanan yang kompetitif di peringkat antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!