Tidak salah jalani 'swab' sahaja tanpa kuarantin

Pengembara dari Sabah hanya perlu membuat ujian swab tiga hari sebelum berlepas dari negeri itu. (Gambar kecil: Dr Mohd Dzulkhairi)
Pengembara dari Sabah hanya perlu membuat ujian swab tiga hari sebelum berlepas dari negeri itu. (Gambar kecil: Dr Mohd Dzulkhairi)
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar kesihatan awam menjelaskan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mewajibkan pengembara yang tiba dari Sabah dikuarantin sebaliknya hanya perlu menjalani ujian swab pengesanan Covid-19 adalah bertepatan memandangkan situasi semasa di Sabah yang tidak lagi kritikal ketika ini.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, keputusan itu difikirkan sesuai dan mesyuarat sudah pun diadakan bersama KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memandangkan kes di Sabah menurun.

"Lagipun keputusan ini dibuat berdasarkan situasi semasa, ia tidak menimbulkan suasana membimbangkan dan ia polisi yang dilakukan atas perbincangan bersama dan bukan sendirian.

"Maka kita perlu mengikuti peraturan dan polisi baharu ini yang telah ditetapkan kerajaan," katanya kepada SInar Harian hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pengembara yang tiba dari Sabah dan didapati negatif tidak perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari seperti dikuatkuasakan sebelum ini.

"Mereka hanya diwajibkan menjalani ujian swab pengesanan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas dari Sabah ke negeri lain dan menurutnya, polisi berkenaan berubah berdasarkan keperluan semasa," katanya.

Pada hujung September lalu, beberapa pihak mempertikaikan keputusan kerajaan tidak mewajibkan kuarantin 14 hari ke atas individu dan ahli politik yang pulang daripada kempen Pilihan Raya Negeri Sabah.

Pengecualian kuarantin tersebut menyebabkan beberapa pemimpin disahkan menghidap Covid-19 walaupun pada awalnya disahkan negatif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Antara pemimpin yang dijangkiti Covid-19 semasa berkempen di Sabah termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Timbalan Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; ADUN Kampung Tunku (DAP), Lim Yi Wei dan ADUN Kota Damansara (PKR), Shaitiri Mansor.

ARTIKEL BERKAITAN: Zulkifli sah positif Covid-19

Buat ujian swab tiga hari sebelum berlepas dari Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!