Cavani, Van de Beek mula serasi aksi Red Devils
PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solksjaer gembira apabila dua pemain baharu United Edinson Cavani and Donny Van de Beek dilihat semula mengadaptasi corak permainan skuad The Red Devils itu.
Solksjaer berkata, kedua-dua pemain berkenaan telah beraksi cemerlang di sepanjang perlawanan bagi menewaskan kelab Turki Istanbul Basaksehir 4-1, dalam saingan Liga Juara-Juara di Old Trafford kelmarin.
“Kedua-dua pemain ini sudah mula mendapat rentak permainan dan memahami bagaimana untuk beraksi mengikut kemahuan kami.
“Daripada pemerhatian kami, Van de Beek boleh beraksi di pelbagai posisi manakala Cavani pula seorang pemain ‘lama’ yang masih bagus dan saya juga gembira dengan Anthony Martial yang beraksi di sebelah kiri.
“Mereka (Cavanni, Van de Beek), nyata menghargai peluang untuk beraksi dengan menjadikan ia sebagai malam Liga Juara-Juara di Old Trafford di mana kita juga menjaringkan gol-gol yang baik,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan United kini mendahului Kumpulan H dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan dan tewas sekali iaitu tewas 1-2 kepada lawan sama di Stadium Basaksehir Fatih Terim, 5 November lalu.
Bintang Portugal Bruno Fernandes menjaringkan gol pada minit ke-7 dan 19 manakala Marcus Rashford menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-35 dan pemain muda, Daniel James menjaringkan gol keempat pada masa kecederaan.
Istanbul Basksehir bagaimanapun mendapat gol saguhati hasil jaringan Denic Turuc pada minit ke-75.
Sementara itu Solskjaer mempertahankan keputusan Fernandes yang memberikan tugas sepakan penalti kepada Rashford yang dilihat sebagai satu keputusan yang tepat.
“Rashford seorang pemain yang mampu menyempurnakan sepakan penalti dan Fernandes pula seorang pemain penuh dengan keyakinan.
“Jadi, tiada salahnya jika Fernandes menyerahkan tugas itu kepada Rashford. Martial juga pernah diberikan tugasan sama ketika berdepan Leipzeg,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!