Polis siasat kehilangan RM1.6 juta semasa serbuan

Polis KL sahkan dua pegawai dan empat anggota polis ditahan berhubung kehilangan wang RM1.6 juta semasa serbuan di sebuah rumah Bukit Segambut pada 12 November lalu.
Polis KL sahkan dua pegawai dan empat anggota polis ditahan berhubung kehilangan wang RM1.6 juta semasa serbuan di sebuah rumah Bukit Segambut pada 12 November lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur mengesahkan dua pegawai dan empat anggota polis ditahan berhubung kehilangan wang RM1.6 juta semasa serbuan di sebuah rumah Bukit Segambut pada 12 November lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun dalam bangunan dan Seksyen 384 kanun yang sama kerana melakukan pemerasan.

"Setakat ini, kesemua mereka yang terdiri daripada dua pegawai berpangkat Asisten Superintendan dan empat anggota sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

"Siasatan berhubung kes berkenaan masih dijalankan bagi membolehkan pihak polis mendapatkan maklumat sebenar mengenai kejadian kehilangan wang semasa serbuan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, kesemua individu itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas semua keterangan direkodkan untuk siasatan lanjut.

"Kita juga turut mengambil keterangan daripada mangsa yang juga pengadu berhubung kehilangan wang tunai RM1.6 juta bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Datuk Zamri Yahya berkata, tangkapan ke atas dua pegawai dan empat anggota itu dilakukan selepas mangsa membuat laporan polis.

"Pada masa ini, siasatan masih dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) masih menunggu laporan penuh siasatan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi JIPS apa yang paling penting adalah melihat semula prosedur operasi standard (SOP) tentang pelaksanaan operasi berkenaan sama ada pegawai dan anggota terbabit mematuhi arahan yang ditetapkan semasa serbuan," katanya.

Beliau berkata, antara SOP penting yang diperlukan semasa serbuan adalah merekodkan setiap barangan berharga yang dirampas dengan disaksikan oleh mana-mana individu yang diperiksa atau ditahan.

"Selepas itu, individu terbabit akan menandatangani borang selepas berhubung setiap barangan yang dirampas bagi memastikan tiada sebarang kehilangan barang berharga," katanya.

Zamri berkata, JIPS Bukit Aman akan mengambil tindakan yang diperuntukkan sekiranya terbukti pegawai dan anggota terbabit didapati bersalah.

"Pegawai dan anggota yang ditahan bukan sahaja berhadapan tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada di bawah Kanun Keseksaan malah boleh dibuang kerja atau digantung tugas mengikut peruntukan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Dalam serbuan pada jam 6.30 petang itu, mangsa seorang lelaki warga China berusia 30 tahun ditahan bersama isterinya juga warga China dan dua pembantu mereka.

Semasa serbuan dibuat, suspek disyaki menemui dan merampas wang tunai RM1.6 juta, barang kemas, jam tangan dan sarang burung selain membawa empat tangkapan terbabit ke IPD Sentul.

Bagaimanapun selepas siasatan selesai dijalankan dan ketika mangsa hendak dibebaskan pada jam 3 pagi, suspek dipercayai hanya menyerahkan barangan kemas dan sarang burung kepada mangsa selain tidak diberikan borang senarai pemeriksaan barangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!