Kastam Thailand rampas 62kg dadah untuk pasaran Malaysia
BANGKOK - Kastam Thailand merampas 62 kilogram (kg) dadah jenis ‘ice’ atau crystal methamphetamine bernilai kira-kira 37 juta baht yang disembunyikan di dalam kontena dipercayai untuk dihantar ke Malaysia.
Susulan rampasan di sebuah pelabuhan di Bangkok pada Isnin itu seorang lelaki warga Thailand turut ditahan.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Pabean Patchara Anantasilp berkata, bertindak berdasarkan maklumat, operasi bersama dilakukan dan memeriksa satu kontena.
"Hasil pemeriksaan sinar-X pada kontena kami mengesan objek mencurigakan di dalam kontena. Kami membukanya dan menemui semua dadah berkenaan.
"Pegawai penguat kuasa menemui bungkusan teh mengandungi dadah berkenaan yang disembunyikan di dalam mesin yang sudah rosak dan usang," katanya pada sidang media.
Sementara itu, wakil Ketua Polis Negara, Jeneral Manu Mekmok berkata, seorang lelaki warga tempatan dari selatan Thailand, yang dinamakan sebagai pengeksport kontena itu telah ditahan untuk membantu siasatan.
"Kami berharap memperoleh lebih banyak maklumat dan mencari individu lain yang mungkin terlibat," katanya.
Seorang pegawai penyiasatan Kastam berkata, suspek itu memiliki rekod jenayah dan sedang dalam pemantauan.
“Dokumen menunjukkan tujuan eksport terakhirnya adalah Malaysia namun kami yakin dadah tersebut akan dieksport ke negara lain dengan harga yang lebih tinggi apabila tiba di Malaysia,” kata pegawai itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!