Covid-19: Tiada jangkitan dalam komuniti berkaitan Kluster Teratai
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan, tiada jangkitan dalam komuniti berkaitan Kluster Teratai ditemui pihaknya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini jangkitan berlaku dalam kalangan pekerja tempatan dan warga asing serta menjangkiti ahli keluarga yang lain.
"Contohnya 164 pekerja tempatan yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur, mereka pulang (dari kilang) dan menjangkiti kira-kira 70 individu ahli keluarga mereka tetapi kita tidak menemui lagi jangkitan dalam komuniti," katanya.
Menurutnya, kilang terbabit mempunyai seramai 11,215 pekerja.
"Setakat ini kita telah melakukan saringan terhadap 6,506 dengan 4,063 daripadanya positif," katanya dalam sidang akhbar perkembangan terkini koronavirus (Covid-19) di kementeriannya di sini, hari ini.
Beliau berkata, arahan penutupan terhadap 20 kilang berkenaan telah dikeluarkan.
"Lapan lagi akan ditutup secara berperingkat. Walaupun kilang berkenaan ditutup, jentera masih beroperasi untuk mengelakkan kerosakan sekiranya diberhentikan.
"Jadi kita benarkan jentera beroperasi dengan kadar minima," katanya.
Kluster Teratai yang membabitkan pekerja kilang Top Glove mula dikesan pada 7 November lalu.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berharap majikan melakukan ujian saringan berkala terhadap pekerja terutama di zon merah.
"Kita sudah berhubung dengan majikan dalam sektor pembinaan dan mereka yang menggajikan ramai pekerja asing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!