Ahli Parlimen jadi penentu, rakyat sedang memerhati
HARI ini hari yang cukup penting kepada kita semua seluruh rakyat Malaysia. Apa tidaknya, hari ini hari yang menjadi penentu sama ada Belanjawan 2021 diluluskan atau sebaliknya.
Apa saja boleh terjadi hari ini. Ia bukan semata-mata soal Belanjawan 2021 lulus atau ditolak. Merak Jalanan pasti ramai yang ternanti-nanti ‘drama’ yang bakal berlaku di Parlimen hari ini.
Lebih mendebarkan, adakah akan berlaku usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum proses pengundian Belanjawan 2021.
Bukan apa, sejak Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2021, pelbagai persoalan dibangkitkan sehingga tercetus macam-macam polemik dalam negara.
Setiap mereka mempunyai hujah masing-masing. Ada yang menyambut baik. Malah, ada juga yang menganggap ia sekadar ‘angka atas kertas’.
Persoalannya, adakah Belanjawan 2021 akan diluluskan di Dewan Rakyat hari ini? Merak Jalanan sendiri tidak tahu apa jawapannya. Jangan kata Merak Jalanan, rata-rata ahli Parlimen juga tidak ada jawapan sahih.
Biarpun diangkat sebagai belanjawan terbesar dalam sejarah negara dengan nilai RM322.5 bilion, ‘rencah dan rempah ratus’ Belanjawan 2021 dilihat masih belum mampu memuaskan hati sebilangan besar ahli Parlimen.
Bagi mereka, Belanjawan 2021 belum cukup untuk membela nasib kebanyakan rakyat di negara ini – tidak kira golongan B40 mahupun M40 yang terkesan di sebalik krisis pandemik Covid-19 sejak Mac lalu.
Kini ‘hari penentuan’ sudah pun tiba. Umpama bola sudah berada di kaki setiap ahli Parlimen, terpulang kepada mereka menentukan ke mana hala tuju bola itu.
Satu saja pesan Merak Jalanan, hati-hati sebelum membuat keputusan, rakyat di luar Parlimen sedang asyik memerhati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!