Masa untuk buat perubahan

No Image Caption
A
A
A

DALAM Surah al-Maidah ayat 90, ALLAH SWT berfirman yang maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Dalam ayat di atas, ALLAH SWT telah memerintahkan orang-orang yang beriman agar menjauhi arak. Arak dilarang kerana Islam sangat mengambil berat tentang penjagaan akal. Kerana itulah ulama telah menjelaskan bahawa penjagaan akal merupakan salah satu daripada al-daruriyyat al-khamsah (perkara asas yang lima) yang wajib dilaksanakan.

Berbicara mengenai arak, lebih kurang dua minggu lalu, kita dikejutkan dengan satu berita menyedihkan tentang kelonggaran yang diberi oleh Emiriah Arab Bersatu berkaitan arak dan kebenaran kepada pasangan yang belum berkahwin untuk tinggal serumah.

Namun, di Malaysia, perkara sebaliknya berlaku berkaitan arak. Pada 17 November 2020, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memuktamadkan Garis Panduan dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (GPLMK). Penambahbaikan itu bertujuan mengawal kemudahdapatan penjualan dan pengambilan minuman beralkohol serta kawalan keselamatan dan kesihatan warga kota. GPLMK mula dikuatkuasakan pada 15 November 2020.

Peraturan baharu yang ditetapkan, antaranya larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina yang berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2021 kecuali bagi tujuan ubatan sebagaimana dinyatakan dalam Perkara A(1E).

Penambahbaikan itu perlu disambut baik semua pihak. Saya yakin penambahbaikan itu bukan untuk menafikan hak bukan Islam tetapi tujuannya adalah untuk mengawal agar arak tidak terlalu mudah diperoleh oleh orang ramai.

Hakikatnya, GPLMK tidak melarang secara mutlak aktiviti menjual dan meminum arak tetapi penambahbaikan yang telah dibuat, paling tidak dapat menyukarkan sedikit orang ramai untuk mendapatkan arak kerana ia tidak lagi boleh dibeli dengan mudah dari kedai runcit atau kedai serbaneka dan kedai ubat Cina sebagaimana sebelumnya. Namun, pada pandangan saya, meskipun sudah ada penambahbaikan dibuat terhadap GPLMK tetapi masih ada kekurangannya yang perlu ditambah baik, antaranya Perkara A(10) yang hanya menetapkan kepada premis berkenaan agar memastikan tiada pengunjung beragama Islam meminum arak di situ. Ia seolah-olah larangan kepada umat Islam hanyalah terhad kepada meminum arak di premis berkenaan tetapi jika dia membeli dan minum di rumah tidaklah dilarang.

Sekiranya yang dimaksudkan adalah larangan penjualan arak, sepatutnya digunakan perkataan dilarang menjual arak supaya ia lebih jelas sebagaimana dalam garis panduan berkaitan lesen arak yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan lain.

Artikel Berkaitan:

Selain Perkara A(10), pada Bahagian C, GPLMK tetap memberi laluan penjualan bir di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina. Ia juga merupakan antara kekurangan yang ada dalam GPLMK yang perlu disemak kembali jika kerajaan serius untuk mengawal arak.

Akhir kalam, saya mengharapkan langkah diambil DBKL memberi inspirasi kepada pihak berkuasa tempatan lain untuk membuat penambahbaikan terhadap garis panduan berkaitan arak di negeri masing-masing.

Diharapkan pihak berkenaan mengambil kira beberapa kekurangan yang masih ada dalam GPLMK sebagaimana yang saya sebutkan.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!