Ikhtiar, tawakal solusi terbaik

Umar Mukhtar
Umar Mukhtar
A
A
A

SHAH ALAM - Mencari penyelesaian atau berikhtiar tidak menjadikan seseorang itu syirik, melainkan dia beriktikad bahawa vaksin itulah yang memberi kuasa menyembuhkan.

Pegawai Khas Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Umar Mukhtar Mohd Noor berkata, menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang memberi kesan penyembuhan hanyalah ALLAH SWT.

“Peranan orang yang bertawakal kepada ALLAH SWT. Ia bukanlah semata-mata berserah kepada ALLAH SWT tanpa usaha yang optimum.

“Kita kena faham bahawa kesungguhan dalam berusaha adalah perkara yang tersangat penting sebelum dia pasrah terhadap kehidupannya.

“Begitu jugalah dalam isu perawatan. Manusia diperintahkan untuk merawat. Dalam mazhab Syafie, hukum merawat asalnya adalah sunat tetapi kalau kita lihat dari segi individu, boleh untuk berubat atau tidak tetapi jika dilihat dari aspek komuniti, ia berbeza,” katanya ketika menjadi panelis pada program Wacana Al-Quran bertajuk ‘Vaksin: Antara Ikhtiar dan Harapan di Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Turut menjadi panelis ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator.

Qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali pula memperdengarkan bacaan surah an-Nahl ayat 43 dan surah-surah yang berkaitan.

Umar Mukhtar berkata, dalam hadis Nabi Muhammad SAW berpesan kepada sahabat iaitu ‘jika berlaku taun di satu tempat, maka janganlah kamu masuk ke dalamnya dan andai kata kamu sudah berada dalamnya, maka janganlah kamu keluar darinya.’

Artikel Berkaitan:

“Maka, menjadi batu asas bagi umat Islam bahawa konsep kuarantin itu ada. Hadis Nabi SAW juga menyebut ‘larilah daripada bersentuhan dan berinteraksi dengan orang yang berpenyakit kusta seperti kamu takutkan singa.’ Jadi, daripada situ ada dua dimensi iaitu sendiri dan juga dimensi orang ramai.

“Pihak kerajaan perlu mengutamakan komuniti dan memastikan rakyat tidak terdedah dengan penyakit tersebut.

“Harus difahami, andai kata perintah kerajaan yang asalnya perkara itu adalah sunat, ia boleh menjadi wajib,” katanya.

Beliau berkata, dalam mazhab Syafie menyatakan bahawa andai berlaku kemarau, masyarakat disunatkan solat istisqa dan sekiranya kerajaan menyuruh rakyatnya berpuasa tiga hari dan asalnya puasa itu sunat, maka ia menjadi wajib.

“Sebab apa ia wajib? Sebab kita wajib melaksanakan apa yang ditetapkan oleh ALLAH SWT apabila diamanahkan oleh pihak kerajaan.

“Kita lihat solat istisqa, ada satu hikmah yang besar. Nabi Muhammad SAW mengajar kepada umatnya untuk berpuasa dan dalam tempoh itu memperbanyakkan istighfar serta ibadat kepada ALLAH sebab musibah yang berlaku terhadap kehidupan seorang Islam ada dua nuansa.

“Satu nuansa disebabkan dosa dia dan itu adalah akidah kita dan satu lagi nuansa yang ditetapkan ALLAH seperti penyakit dan sebagainya. Jadi dia kena berhati-hati daripada dua perkara tersebut,” katanya.

Dari kiri: Fazrul, Dr Hishamshah, Umar Mukhtar dan Ahmad Tirmizi pada program Wacana Al-Quran bertajuk ‘Vaksin: Antara Ikhtiar dan Harapan’ di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam.
Dari kiri: Fazrul, Dr Hishamshah, Umar Mukhtar dan Ahmad Tirmizi pada program Wacana Al-Quran bertajuk ‘Vaksin: Antara Ikhtiar dan Harapan’ di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam.

Sementara itu, kaedah kajian dalam penghasilan vaksin kepada manusia mengambil masa yang lama kerana ia perlu melalui beberapa peringkat yang dikenali sebagai kajian praklinikal.

Dr Hishamshah berkata, penyelidik membangunkan vaksin dan ia akan diuji kepada haiwan (daripada haiwan yang kecil sehingga yang besar) sebelum digunakan kepada manusia.

Menurutnya, apabila vaksin itu mahu digunakan kepada manusia, perlu dipastikan sama ada kualiti ubat vaksin yang digunakan sampai kepada paras yang selamat dan berkualiti tinggi.

“Jadi, ada banyak peringkat. Penghasilan vaksin ini adalah satu proses yang kompleks dan rumit. Ada ujian klinikal fasa satu, kedua dan ketiga. Semua vaksin atau ubat-ubat yang kita gunakan kepada manusia perlu melalui kaedah di atas.

“Jika dilihat pengalaman lalu, vaksin yang telah dihasilkan mampu menyelamatkan jutaan nyawa manusia pada awal vaksin tersebut diketengahkan. Contohnya, penyakit cacar air yang boleh membawa maut tetapi dengan vaksin yang dibangunkan, alhamdulillah ia berjaya.

“Walaupun vaksin ini boleh jadi efektif tetapi penyampaiannya tidak sampai ke seluruh dunia menyebabkan penggunaan vaksin belum mencapai matlamatnya,” katanya.

Dr Hishamshah berkata, wabak Covid-19 adalah ujian yang getir dan selalunya ujian daripada ALLAH SWT didatangkan dengan pengharapan.

“Memang ada cabarannya dalam menghadapi Covid-19 tetapi dengan usaha berterusan, kita akan mendapat vaksin yang sesuai dengan paras keberkesanan yang tinggi dan dapat digunakan kepada rakyat.

“Namun, kita perlu pastikan vaksin yang dihasilkan mematuhi semua peringkat kajian klinikal dan data-data yang dihasilkan, sekali gus menunjukkan keberkesanan, barulah kita menaruh harapan dan yakin ia dapat membantu memutuskan rantaian Covid-19,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!