Morata mampu muncul penyerang terbaik dunia
PENGENDALI Juventus, Andre Pirlo menjangkakan Alvaro Morata bakal muncul selaku antara penyerang terbaik di dunia suatu hari nanti.
Pirlo berkata, keyakinan itu dibuat berdasarkan kepada aksi Morata pada saingan Liga Juara-Juara ketika menewaskan Ferencvaros 2-1 di Stadium Allianz, Turin awal pagi tadi.
“Dia seorang pemain yang kuat dan cuma perlu kekal konsisten dan memiliki keyakinan. Dia juga mampu melakukan apa sahaja dan untuk itu dia akan muncul sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia suatu hari nanti.
“Jika dia berlatih dengan serius, dia akan berada dalam prestasi yang baik untuk menjaringkan gol; bukan hanya untuk Juventus tetapi juga untuk pasukan kebangsaannya (Sepanyol),” katanya.
Untuk rekod, Morata menjaringkan gol pada minit ke-92 bagi mengesahkan kemenangan Juventus setelah Cristiano Ronaldo menjaringkan gol penyamaan The Old Lady pada minit ke-35.
Sebelum itu, Ferencvaros mengejutkan Juventus apabila Myrto Uzuni menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-19.
Kemenangan itu menyaksikan Juventus berada pada kedudukan kedua Kumpulan G dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan dan tewas sekali daripada empat perlawanan setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!