Penduduk di Jalan Teratai, Meru bimbang kes Covid-19 meningkat
MERU - Rata-rata penduduk di sekitar kawasan Jalan Teratai, Meru bimbang keselamatan mereka susulan peningkatan kes pandemik koronavirus (Covid-19) melibatkan kilang Top Glove dalam kalangan pekerja warga asing di kawasan tersebut.
Salah seorang penduduk, Abdul Rahman Md Yusoff, 60, berkata, penduduk di kawasan sekitar bimbang situasi terkini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja kilang itu bermula 17 November lalu.
“Masalahnya di sini, ada juga pekerja warga asing yang tinggal di luar asrama, jadi kita tak tahu bagaimana pergaulan mereka.
“Pada masa sama, kilang itu ditutup secara berperingkat, namun kurang jelas dari sudut prosedur penutupannya. Ada juga saya mendapat maklumat pekerja tempatan yang masih bekerja, jadi bagaimana?” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Katanya, pekerja kilang Top Glove bukan sahaja pekerja asing namun ada juga pekerja tempatan.
“Pekerja tempatan bukan sahaja tinggal di taman-taman sekitar Jalan Teratai ini, namun ada yang tinggal misalnya di Puncak Alam, Bukit Kapar, Alam Budiman.
“Ini yang kami semua bimbangkan. Sepatutnya bukan sekadar pekerja asing malah pekerja tempatan harus dijalankan saringan dan dikuarantin,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Zulhilmi Muhamat Hari, 34, berkata, kawasan sekitar rumahnya merupakan laluan warga asing untuk ke tempat kerja.
“Semasa PKPD dijalankan memang kurang kelibat pekerja warga asing ini, namun ada juga yang masih berkeliaran, mungkin mereka ini tinggal di luar asrama berkenaan.
“Saya harap tindakan lebih tegas dapat diambil, mungkin penyelarasan yang lebih berkesan di mana keseluruhan warga asing yang tinggal di taman-taman perumahan di Jalan Teratai ini dapat dikuarantinkan di tempat lain sementara menunggu keputusan saringan mereka,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, beberapa pertemuan telah diaturkan bersama pihak pengurusan Top Glove sebelum ini.
“Daripada peringkat awal saya minta operasi kilang ditutup sementara kerana menjangkakan penyebaran wabak berlaku kerana kepadatannya pekerja-pekerja yang duduk di sekitar kawasan ini, jadi ada beberapa siri perjumpaan sebenarnya telah dibuat dengan pihak pengurusan.
“Peringkat awal, pihak pengurusan Top Glove kata akan kawal semua tapi bagi saya, mereka ini gagal. Saya terima aduan masa awal PKPD mereka ini masih merayau, jadi ini membimbangkan penduduk,” katanya.
Jelasnya, buat masa ini pihaknya meminta masyarakat Meru agar sentiasa mematuhi SOP yang diarahkan.
“Saya harap semua masyarakat patuhilah SOP, jangan keluar melainkan urusan penting, sentiasa jaga diri dan kita bersama adakan solat hajat dan memohon kepada ALLAH agar dijauhi dan dilindungi daripada wabak ini,” katanya.
Terdahulu, kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja Top Glove, Klang bermula 17 November hingga 30 November.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di lokaliti itu yang diputuskan pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) melibatkan 13,190 pekerja kilang itu yang menginap di asrama pekerja lelaki dan wanita serta hampir 1,200 penduduk di Jalan Abadi 1A/8, Jalan Abadi 1A dan Jalan Abadi 10A/KU8.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!