Diego Maradona meninggal dunia
[KEMAS KINI] LEGENDA bola sepak Argentina, Diego Maradona meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di rumahnya di Buenos Aires sebentar tadi, lapor media Argentina, Clarin dan Ole.
Sebelum ini, bekas pemain tengah dan pengurus pasukan Argentina itu dilaporkan selamat menjalani pembedahan membuang darah beku di bahagian otaknya, 4 November lalu.
Selepas lapan hari menjalani pembedahan tersebut, Maradona yang berusia 60 tahun itu dibenarkan keluar dari Klinik Olivos dekat Buenos Aires, Argentina.
Antara kejayaan utama yang dikecapi sepanjang kariernya sebagai pemain, Maradona yang dinamakan antara legenda sepanjang zaman berjaya membantu Argentina muncul juara Piala Dunia 1986 di Mexico.
Beliau juga bermain untuk kelab Barcelona dan Napoli semasa zaman kegemilangannya selain memenangi dua gelaran Serie A bersama pasukan di Itali.
Dalam satu kenyataan di media sosial, Persatuan Bola Sepak Argentina, menyifatkan pemergian Maradona menyebabkan kesedihan yang amat mendalam.
"Ia kesedihan yang amat mendalam atas kematian legenda kami. Anda akan selalu di hati kami," kata persatuan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!