497 saman dikeluarkan menerusi Op Khas Motosikal
JOHOR BAHRU - Sebanyak 497 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menerusi Op Khas Motosikal sempena Tahun Baru Cina (TBC) 2019 di tujuh lokasi seluruh negeri ini, malam tadi.
Pengarahnya, Razali Wagiman berkata, dalam operasi itu juga sebanyak 3,465 motosikal diperiksa bersama penunggang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun.
Menurutnya, kesalahan tertinggi direkodkan pada operasi yang bermula dari jam 8 hingga 12 tengah malam itu adalah tiada lesen memandu iaitu sebanyak 315 kes.
“Operasi khas ini kita lakukan secara serentak di seluruh Johor. Kita pilih tujuh lokasi yang dikenal pasti sesuai melibatkan kawasan Johor Bahru, Pontian, Segamat, Batu Pahat, Mersing, Muar dan Kluang.
“Meskipun memberi penekanan kepada motosikal, kita juga turut melakukan pemeriksaan untuk kenderaan lain untuk memastikan aliran jalan raya berjalan dengan lancar dan selamat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Razali berkata, pengkhususan kepada kenderaan itu (motosikal) adalah disebabkan sasaran JPJ negeri tahun ini untuk mengurangkan statistik kemalangan jalan raya membabitkan motosikal.
“Kita beri penekanan kepada motosikal kali ini. Untuk Op Khas TBC ini kita meletakkan sasaran untuk kurangkan sebanyak 60 peratus kemalangan membabitkan pengguna motosikal,” katanya.
“Operasi akan dilaksanakan setiap hari sehingga Ops TBC 2019 selesai iaitu 12 Februari ini. Kita pun dan kenal pasti beberapa kawasan lain. Ini untuk memastikan perjalanan pulang ke kampung halaman semasa cuti ini berjalan dengan lancar dan selamat,” katanya.
Menurutnya, operasi yang dilakukan secara bersepadu itu turut melibatkan penguat kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Dalam operasi ini, seorang penunggang motosikal juga kita berjaya kesan kerana didapati berada dalam pengaruh dadah. Lelaki ini kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Dalam operasi ini semua badan terlibat, jadi selain daripada pengawasan undang-undang trafik, kita juga berusaha untuk mengesan kesalahan seperti memandu dalam pengaruh dadah atau alkohol,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!