Suara akan jadi pendesak tolak unsur hina institusi diraja
JOHOR BAHRU - Majlis Suara Melayu Johor (Suara) akan bertindak sebagai ejen pendesak mewakili rakyat untuk menolak mana-mana individu yang sewenang-wenangnya mempertikaikan kuasa raja-raja dan kedaulatan Melayu.
Perkara itu juga termasuk tindakan mengeluarkan kenyataan bersifat sedemikian walaupun ia melibatkan pemimpin politik negara ini.
Pengerusi Suara, A Rahman Mahadi berkata, kedudukan raja dan bangsa Melayu dalam negara ini sudah kukuh sejak sekian lama dan seharusnya ia terus dikekalkan keharmoniannya.
“Negara kita dah beralih ke fasa baru daripada pemerintahan dan perubahan sosio budayanya. Tetapi perlu ingat, ada batasnya. Dalam rukun negara juga sudah tertulis mengenai perkara itu.
“Jadi janganlah ada pihak yang sengaja mewujudkan persengketaan itu, sudah lama kita hidup serumpun mengapa ditimbulkan perkara seperti ini (hina raja) sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Suara dan Gerakan Pemulihan Bangsa di sebuah hotel di Larkin di sini, hari ini.
Menurutnya, penubuhan Suara bukan mahu mewakili dan terikat dengan mana-mana parti politik tetapi kelangsungannya dalam memastikan isu terbabit tidak diketepikan sewenang-wenangnya.
“Sebuah kerajaan itu terjadi kerana rakyat, jadi rakyat juga yang boleh menjatuhkannya. Suara ditubuhkan untuk mengisi slot itu dan sebagai rakyat yang lantang menegahnya.
“Kita sayang keharmonian yang sudah dibina, jadi kita harap pihak berkuasa jangan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang mempertikaikan atau menghina kedaulatan raja dan negara kita ini,” katanya.
A Rahman berkata, agenda utama Suara adalah menyalurkan suara-suara masyarakat bawahan agar benar-benar dapat didengari dan sampai kepada pihak yang berwajib.
“Ini kerana ketua kampung, penghulu, ahli-ahli pihak berkuasa tempatan (PBT), wakil-wakil rakyat pasti sukar untuk menangani isu-isu di kawasan setempat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!