SPRM siasat isu salah guna dana royalti artis

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan berhubung isu penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu yang diterima daripada pengusaha-pengusaha industri di Malaysia bagi tujuan 'public performance'.

Menurut sumber, royalti-royalti yang dikutip itu disyaki tidak disalurkan kepada artis dan pencipta lagu.

"Satu operasi telah dijalankan semalam di empat pejabat yang dipercayai terlibat dalam proses kutipan royalti iaitu Recording Performers Malaysia (RPM), Performers' And Artistes' Interests (PRISM), Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) dan Public Performance Malaysia (PPM).

"Setakat ini, SPRM sedang mengambil dokumen- dokumen yang terlibat untuk kajian dan penelitian. Beberapa individu yang terlibat akan dipanggil untuk membantu siasatan ini," katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi hari ini mengesahkan pihaknya telah memulakan siasatan berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, masih terlalu awal untuk memberi sebarang komen berhubung siasatan terbabit.

"Jadi semua pihak diminta untuk tidak mensensasikan isu ini dan memberikan masa yang secukupnya kepada SPRM bagi menjalankan siasatan secara telus, adil dan profesional.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!