Liverpool pamerkan aksi hambar
PENGENDALI Liverpool Jurgen Klopp menyifatkan kekalahan 0-2 kepada Atalanta dalam saingan Liga Juara-Juara di Anfield awal pagi semalam sebagai satu kekalahan yang wajar bagi pasukannya.
Klopp berkata, skuad The Reds itu wajar menerima kekalahan berkenaan setelah menyaksikan skuad kendaliannya itu mempamerkan aksi hambar di sepanjang perlawanan.
Malah menurut Klopp, kekalahan berkenaan turut dilihat sebagai kekalahan ‘paling besar’ sejak mengemudi Liverpool.
“Secara keseluruhannya, ia bukan satu perlawanan yang baik. Kedua-dua pasukan tidak banyak mencipta peluang sehinggalah gol berjaya dijaringkan.
“Oleh itu saya menyifatkan ia kekalahan yang wajar dalam satu perlawanan yang sukar di mana pengadil juga tidak banyak ‘meniup wisel’ dan menjadikan perlawanan bertambah sukar bagi kedua-dua pasukan.
“Apa pun perlawanan ini tidak menyebabkan pemain cedera dan kita akan terus berjuang. Tahniah kepada anda, (Atalanta),” katanya.
Pada perlawanan berkenaan kesebelasan The Reds menurunkan ramai pemain muda seperti Curtis Jones, Rhys Williams and Neco Williams bagi menggalas tugas ditinggalkan pemain utama yang mengalami kecederaan.
Bagaimananpun kesebelasan berkenaan dilihat gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke pintu gol lawan berbanding pelawat yang berjaya merobek gawang tuan rumah sebanyak dua kali dalam tempoh lima minit menerusi Josip Illicic pada minit ke-60 dan Robin Gosens pada minit ke-64 bagi mengesahkan kemenangan skuad Serie A itu.
Kekalahan berkenaan bagaimanapun menyaksikan Liverpool tetap berada pada kedudukan teratas Kumpulan D dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan dan tewas sekali daripada empat perlawanan setakat ini.
Sementara itu pengendali Atalanta, Gian Piero Gasperini bukan sahaja telah meng’hidup’kan peluang skuad La Dea itu untuk mara ke saingan kalah mati Liga Juara-Juara kali ini, namun turut mencatat rekod tersendiri apabila menjadi kelab Itali kedua yang berjaya menewaskan Liverpool di Anfield setelah Genoa melakukannya pada 1992 lalu.
Menurut Gasperini, kemenangan berkenaan juga diibaratkan sebagai kejayaan terbesar dan berprestij dalam sejarah skuad kendaliannya itu.
“Kejayaan ini mungkin kejayaan terbesar kita. Tetapi agak malang kerana perlawanan ini berlangsung tanpa kehadiran penonton kerana ia (kejayaan) adalah sebahagian daripada sejarah bola sepak; apatah lagi mereka (Liverpool) tidak pernah tewas dalam 64 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di sini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!