Sabah tetap milik Malaysia: Hishammuddin

Hishammuddin Hussein
Hishammuddin Hussein
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk tidak melayan tuntutan ke atas Sabah.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia tidak akan berkompromi terhadap apa sahaja isu melibatkan kedaulatan Sabah dan akan terus mempertahankan negeri itu sampai bila-bila.

“Malaysia tidak pernah mengakui dan tidak sekali-kali akan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak (Filipina atau Kesultanan Sulu) ke atas sebahagian atau keseluruhan Sabah.

“Status Sabah dalam Persekutuan Malaysia adalah sah dan diterima masyarakat antarabangsa. Ia jelas dan terbukti bahawa isu tuntutan ke atas Sabah adalah tidak berasas dan tidak relevan memandangkan Sabah merupakan sebahagian daripada Malaysia sejak tahun 1963.

“Justeru, kerajaan Malaysia akan terus kekal konsisten dengan pendirian tegas untuk tidak melayan mana-mana tuntutan ke atas Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin (BN-Sembrong) berkata, kerajaan turut mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan retorik dan provokatif

yang mencemarkan nama baik agama Islam dan sebarang bentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai sebuah negara Islam yang demokratik dan mengamalkan kesederhanaan, kerajaan Malaysia sememangnya akan terus mempertahankan kesucian agama Islam dan junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.

“Komitmen ini merupakan satu tuntutan yang diwajibkan ke atas kita sebagai orang Islam, sama ada sebagai pemimpin atau rakyat.

“Sudah terang lagi bersuluh bahawa pendirian Malaysia sangat jelas dan tidak berbelah bahagi dalam isu ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!