Kluster Teratai: Penduduk di Meru jangan panik

Penduduk yang tinggal berhampiran lokasi asrama pekerja lelaki dan wanita yang dikuatkuasakan PKPD dinasihatkan agar tidak panik.
Penduduk yang tinggal berhampiran lokasi asrama pekerja lelaki dan wanita yang dikuatkuasakan PKPD dinasihatkan agar tidak panik.
A
A
A

KLANG - Penduduk di Meru terutamanya mereka yang tinggal berhampiran Jalan Teratai di sini dinasihatkan agar tidak panik dan bimbang dengan situasi terkini mengenai Kluster Teratai di kawasan tersebut.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, kebimbangan itu disuarakan oleh penduduk terutamanya mereka yang tinggal di taman perumahan di sekitar Jalan Teratai mengenai situasi terkini kes koronavirus (Covid-19) di kawasan tersebut.

"Ketika ini saringan sedang dijalankan melibatkan pekerja kilang Top Glove, namun saya difahamkan kes terbaharu melibatkan Kluster Teratai ini telah menurun.

"Jadi saya nasihatkan kepada penduduk jangan panik dan perlu sentiasa mematuhi produser operasi standard (SOP) serta jaga kesihatan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Majlis Mesyuarat Bulanan Penuh MPK bertempat di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, MPK hari ini.

Menurutnya, apa yang penting ketika ini adalah semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada petugas hadapan yang bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama warga asing lelaki dan perempuan di Jalan Teratai ini.

"Kita beri kepercayaan sepenuhnya dan masa sama masyarakat perlu jaga SOP, jangan keluar jika tiada urusan.

"Insya-ALLAH, kita doakan supaya rantaian wabak Covid-19 ini segera dapat diputuskan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, rata-rata penduduk di sekitar kawasan Jalan Teratai, Meru bimbang keselamatan mereka susulan peningkatan kes pandemik Covid-19 melibatkan kilang Top Glove dalam kalangan pekerja warga asing di kawasan tersebut.

Sebelum ini, kerajaan menguatkuasakan PKPD di asrama pekerja Top Glove, Klang bermula 17 November hingga 30 November.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di lokaliti itu yang diputuskan pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) melibatkan 13,190 pekerja kilang itu yang menginap di asrama pekerja lelaki dan wanita serta hampir 1,200 penduduk di Jalan Abadi 1A/8, Jalan Abadi 1A dan Jalan Abadi 10A/KU8.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!