ADUN BN kemuka usul undi percaya terhadap MB Perak
IPOH - Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) membawa usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, 4 Disember depan.
Menerusi satu surat bertarikh 18 November, ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim menyatakan bahawa Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli Yang Berhormat DUN.
Justeru, beliau memohon membawa satu usul dan mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan di bawah Perintah-Perintah Tetap 26(1) dibaca bersama Perintah Tetap 27(3) Dalam Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Bagaimanapun, Abd Manaf ketika dihubungi Sinar Harian enggan mengulas lanjut usul berkenaan.
Dalam pada itu, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima notis usul berkenaan.
Katanya, usul persendirian oleh ADUN Pengkalan Baharu itu sudah dimasukkan dalam agenda mesyuarat.
"Usul berkenaan tidak melanggar peraturan Dewan, sehubungan itu kami tidak nampak usul itu perlu ditolak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!