20 peratus koperasi di Pahang terjejas
TEMERLOH - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang telah menyalurkan pinjaman berjumlah RM550,000 kepada koperasi-koperasi di negeri ini sepanjang tempoh pandemik koronavirus (Covid-19) melanda di negara ini.
Pengarahnya, Norazlan Anuar berkata, SKM Pahang juga telah memberikan bantuan bernilai RM260,000 kepada koperasi terlibat sepanjang tempoh tersebut.
Menurutnya, sepanjang tempoh pandemik Covid-19, sebanyak 20 peratus koperasi di Pahang terjejas namun jumlah tersebut tidak seteruk seperti yang dijangkakan sebelum itu.
"Pada mulanya kita jangkakan jumlahnya tinggi namun berdasarkan data yang diperoleh hingga Jun 2020, jumlah koperasi yang terjejas antara 15 hingga 20 peratus.
"Malah kita lihat sektor peruncitan menunjukkan peningkatan namun sektor pelancongan dan perkhidmatan terjejas sepanjang tempoh Covid-19 ini," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi saksi sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) projek usahasama pemerkasaan ekonomi antara Koperasi Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Pahang Berhad (Koppemas) dan Mylife Industry di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.
Koppemas diwakili Pengerusinya,Datuk Khairulanuar Mahmood manakala Mylife oleh Pengarahnya,Muhamad Amirin Zufayrie Abdul Wahab.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!