Lima pelajar IPTS sesat di Bukit Broga selamat
SEMENYIH – Seramai lima pelajar institut pengajian tinggi swasta yang hilang ketika mendaki Bukit Broga, di sini, ditemui selamat, petang tadi.
Kesemua mangsa berusia 20-an itu merupakan warga Sri Lanka, Pakistan dan Iraq
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10.57 pagi
“Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih bergegas di lokasi kejadian, kita memulakan pendakian mencari dan menyelamat sebelum menemui lima mangsa yang terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki.
“Kesemua mangsa ditemui dalam keadaan selamat di lereng bukit puncak tiga pada jam 12.35 petang.
"Kita berjaya membawa turun mangsa ke kaki bukit pada jam1.29 petang,” katanya.
Menurutnya, mangsa diserahkan kepada pihak perubatan dari Klinik Kesihatan Beranang untuk pemeriksaan lanjut.
“Kesemua mangsa dibenarkan pulang oleh pihak perubatan setelah mendapati tiada kecederaan serius,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!