'Pembangkang tergamam penjelasan Menteri Kewangan'
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ahli Parlimen pembangkang didakwa tergamam dengan penjelasan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong menerusi laman Facebooknya berkata, kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat berpunca daripada pembangkang yang mencari helah untuk tidak menyokong Belanjawan 2021.
"Tengku Zafrul menjawab dengan tenang dan penuh fakta. Tahniah !
"Pembangkang tergamam dengan penjelasan dan pengumuman YB Menteri Kewangan yang sedia mendengar suara rakyat dan ahli Parlimen," katanya.
Menurutnya, tindakan ahli Parlimen pembangkang yang cuba meminta undian belah bahagi tidak berjaya selepas hanya 13 yang bangun (menyokong).
"Maka Belanjawan 2021 diluluskan," katanya.
Terdahulu, Yang Dipertua Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan Dewan Rakyat meluluskan RUU Perbekalan 2012 (peringkat dasar) selepas mendapat sokongan sebulat suara daripada ahli Parlimen melalui undian suara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!